Khairy
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berucap pada Sembang Santai Anak Muda sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Bilik Gerakan Sungai Lalang, Semenyih. foto SYAFIQ AMBAK, 21 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyambut baik niat Barisan Nasional (BN) untuk melakukan hatrik di tiga Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, Semenyih dan DUN Rantau.

Bagaimanapun, menurut Ahli Parlimen Rembau itu, BN harus mengekalkan memontum kemenangan dengan mengambil kesempatan terhadap rasa tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Kita tidak mahu takbur sangat dan nak kata hatrik. Tetapi saya nak kekalkan momentum kemenangan itu dan kita sedari maklum bahawa rakyat tidak puas hati dengan PH.

“Banyak janji yang tidak ditunaikan, sangat baik momentum penolakan itu diteruskan dan saya rasa rakyat akan untung apabila PH nampak mereka mengalami kemerosotan sokongan mungkin mereka akan lebih peka dengan kemahuan rakyat,” katanya kepada media selepas program ‘Sembang Anak Muda’, di Bilik Gerakan BN Cawangan Jalan Sungai Lalang, Semenyih.

Khairy menambah, BN perlu memenangi kerusi DUN Semenyih bagi memastikan rakyat mempunyai barisan pembangkang yang kuat.

Untuk rekod, DUN Selangor mempunyai 56 kerusi yang mana 4 daripadanya adalah milik BN dan satu kepunyaan Pas.

“Bagi saya kalau kita nak sistem semak dan imbang yang kuat dan boleh menjaga kepentingan rakyat, kita perlu lebih ramai wakil di DUN.

“Rakyat masih perlu kepada pembangkang yang kuat. Jadi kerajaan akan peka dengan rakyat dan tidak banyak buat silap.

“Saya rasa ini peluang yang baik, bukan untuk pengundi Semenyih sahaja, tapi rakyat Selangor supaya kerajaan PH lebih prihatin kepada rakyat. – MalaysiaGazette