Nicol David
Nicol David

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersedia menyalurkan bantuan kepada ratu skuasy negara, Datuk Nicol David yang mahu bersara daripada sukan itu pada Jun ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman berkata, Nicol berhak mendapatkan bantuan lebih daripada kadar pencen ekoran kejayaannya dalam mengharumkan nama negara.

Menurut beliau, perkara itu masih dalam perbincangan antara Majlis Sukan Negara (MSN) dengan Nicol sendiri bagi dalam usaha mendapatkan persetujuan bersama.

“Beliau berhak dapat lebih daripada pencen atas kejayaannya dalam mengharumkan nama negara.

“Beliau juga memegang rekod juara Terbuka Dunia selama lapan tahun.

“Pihak MSN sedang dalam perbincangan untuk menentukan bentuk apakah yang terbaik bagi perjalanan bekas pemain nombor satu dunia itu pada masa akan datang,” katanya.

Syed Saddiq berkata demikian ketika ditemui pada Forum Analisis Konflik kepentingan dan Saranan pencegahan Rasuah di Malaysia hari ini.

Terdahulu, Syed Saddiq merasmikan forum berkenaan yang turut dihadiri oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun.

Nicol pernah menjuarai kejohanan Terbuka Dunia sebanyak lapan kali dan turut memenangi dua pingat emas di Sukan Komanwel pada 2010 di Delhi dan 2014 di Glasgow, Rusia.

Beliau juga memenangi tujuh pingat emas bagi acara perseorangan dan berpasukan sepanjang tujuh penampilannya di Sukan Asia bermula pada edisi 1998. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Menteri nafi tiada pelapis Nicol