PUTRAJAYA – Satu laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berkenaan isu ‘land swap’ atau pertukaran tanah milik Kementerian Pertahanan membabitkan projek pembinaan Kem Paloh, Johor dan Kem Hutan Melintang, Perak.

Laporan itu dibuat oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Kepada Menteri Pertahanan, Mohd Nasaie Ismail di ibu pejabat SPRM di sini, susulan hasil siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Kewangan dan Perolehan, yang diketuai Tan Sri Ambrin Buang, terhadap 16 isu ‘land swap’ membabitkan tanah milik Kementerian Pertahanan.

Mohd Nasaie yang ditemui media di ibu pejabat SPRM untuk membuat laporan itu berkata kedua-dua projek itu dijalankan oleh pihak swasta hasil pertukaran tanah tapak Kem Kinrara di Selangor dan Kem Rasah di Negeri Sembilan.

“Dipercayai terdapat campur tangan politik, kecuaian urus tadbir dan beberapa kesilapan dalam pelaksanaan projek dalam kedua-dua projek itu yang menyebabkan kerugian kepada kerajaan dan mengancam kepentingan pertahanan negara,” katanya.

Menurutnya, pembinaan Kem Paloh dan Kem Hutan Melintang tidak termasuk dalam Rancangan Malaysia ke-11 tetapi arahan telah dikeluarkan untuk membina kedua-dua kem tersebut dipercayai atas faktor-faktor politik.

Mohd Nasaie berkata Kementerian Pertahanan pada asalnya merancang untuk membina Kem 1 Briged di Port Dickson, Negeri Sembilan sebagai salah satu gantian kepada tapak Kem Kinrara secara ‘land swap’ namun dibatalkan dan digantikan dengan pembinaan Kem Paloh dalam Parlimen Sembrong, Johor.

Beliau mendakwa terdapat bukti arahan politik dan penglibatan secara langsung pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam usaha memindah dan menambah pengundi tentera dan keluarga mereka di kedua-dua kem yang melibatkan Parlimen Sembrong dan Parlimen Bagan Datuk, Perak.

Mohd Nasaie berkata terdapat juga keraguan dalam penilaian tanah tapak Kem Kinrara yang ditetapkan kerajaan ketika itu iaitu berjumlah RM500 juta, sedangkan penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) pula RM758 juta.

“Penilaian oleh pihak JPPH dan penetapan harga oleh pihak kerajaan tersebut berlaku di waktu yang sama iaitu pada Mei 2015. Oleh itu, tidak timbul perbezaan harga tersebut disebabkan oleh perubahan masa yang menyebabkan nilainya lebih tinggi,” katanya.

Beliau juga mendakwa terdapat arahan supaya tanah untuk pembinaan Kem Paloh dibeli pada harga 43 peratus lebih tinggi daripada nilai semasa iaitu RM10.47 juta bagi 62 ekar (25 hektar) walaupun JPPH meletakkan penilaian harga hanya RM7.28 juta.

Menurutnya, kedua-dua projek itu juga telah diarahkan untuk dimulakan pembinaannya dalam keadaan kontrak antara kerajaan dan pihak syarikat belum dimuktamadkan selain dijalankan tanpa mendapat kebenaran dari pihak berkuasa tempatan.

Mohd Nasaie berkata pelaksanaan kedua-dua projek itu menyebabkan kepentingan dan keselamatan anggota serta matlamat untuk memperkukuh ketenteraan terabai.

Pembinaan Kem Briged 1 di Port Dickson, katanya, lebih diperlukan memandangkan kem sedia ada di Rasah sangat usang.

Beliau mendakwa anggota tentera yang dipindahkan ke Kem Hutan Melintang dalam keadaan kem tersebut belum memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

Mohd Nasaie berharap SPRM dapat menyiasat pihak yang terlibat secara langsung dalam memutuskan dan melaksanakan dua projek berkenaan.

— BERNAMA