Reaksi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menerima cenderahati dari Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu (dua kanan) ketika membuat lawatan rasmi di Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 21 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan kini dalam proses untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer berhubung dakwaan ada campur tangan dalam kes-kes mahkamah.

Perkara itu disahkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada media hari ini.

Namun pada masa yang beliau belum dapat memberikan maklumat terperinci berhubung penubuhan itu.

“Kerajaan akan menubuhkan RCI dan terpulang kepada mereka untuk menyiasat dakwaan yang dibuat hakim berkenaan. Sejauh mana kita hendak siasat itu belum kita tentukan lagi,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan warga Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan di Jalan Padang Tembak pagi tadi.

Jelas Mahathir, ketika ini pihaknya masih belum dapat memberikan sebarang perincian berkaitan penubuhan RCI itu.

“Kita belum bincang lagi tentang terma-terma berhubung RCI ini lagi tetapi kerajaan akan tubuhkan siasatan diraja ini dulu,” ujarnya.

Baru-baru ini, Hamid Sultan mendakwa ada anggota badan kehakiman bersubahat dengan individu tertentu untuk menipu kerajaan.

Kumpulan peguam bebas turut mendakwa mengumpul bukti campur tangan beberapa hakim mahkamah rendah dalam beberapa isu sensitif membabitkan politik.

Hamid Sultan membuat pendedahan mengejutkan wujudnya campur tangan dalam kes-kes mahkamah.

Kata beliau dalam afidavitnya setebal 63 muka surat sebagai sokongan kepada permohonan oleh Sangeet Kaur Deo mendedahkan, antara lain butiran yang mengejutkan mengenai beberapa kejadian campur tangan hakim dalam badan kehakiman di Malaysia.

Ia termasuk campur tangan dalam keputusan rayuan kes hasutan mendiang Karpal Singh di Mahkamah Rayuan.

Pada 14 Januari lalu, Sangeet memfailkan saman itu bagi memohon perintah deklarasi bahawa Ketua Hakim Negara gagal dalam menjalankan tugas sebagai Ketua Badan Kehakiman Malaysia untuk mempertahankan integriti dan kewibawaan badan kehakiman.

Tuduh Sangeet Ketua Hakim Negara gagal menyempurnakan siasatan dalaman berhubung keputusan rayuan membabitkan kes hasutan mendiang bapanya dan juga kes guru tadika, M. Indira Ghandi. –MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/18/hamid-sultan-tak-boleh-beri-maklumat-selagi-jawatankuasa-siasatan-tak-ditubuh-haniff/