Menteri Wilayah Persekutuan, Yb Khalid Abdul Samad (empat kanan) diiringi Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan (dua kanan) menerima cenderahati daripada Ketua Pegawai Eksekutif TRX Citu Sdn Bhd, Datuk Azmar Talib (lima kiri) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Common Estate antara TRX City dan Pemilik Plot Pembangunan Tun Razak Exchange di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 21 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan berpuas hati dengan pendekatan pelaksanaan pembangunan Tun Razak Exchange yang memberi keutamaan kepada pengurusan trafik terlebih dahulu.

Abdul Khalid Abdul Samad berkata, pendekatan yang dibuat oleh TRX City Sdn. Bhd. selaku pemaju induk hab kewangan antarabangsa tidak pernah dilakukan oleh pemaju-pemaju lain.

Menurutnya, kebiasaannya pemaju akan melaksanakan infrastruktur berdasarkan pelaburan yang diperoleh tetapi berbeza di TRX.

Apatah lagi, Abdul Khalid berkata, pengurusan trafik yang dibangunkan adalah untuk keseluruhan projek TRX.

“Kita berpuas hati dengan keutamaan yang diberikan dalam pengurusan trafik melalui pelaksanaan terowong bawah tanah, jalan raya, persimpangan jalan dan kemudahan lain.

“Dengan ini, apabila bangunan-bangunan di sini sudah beroperasi, masalah-masalah trafik sudah diselesaikan.

“Ini adalah perkara yang kebanyakan pemaju tidak lakukan,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani perjanjian hartanah bersama pemilik-pemilik tanah TRX di sini hari ini.

Hab kewangan itu akan mempunyai akses terus ke lebuh raya utama seperti Terowong SMART, Lebuhraya Maju (MEX) dan Lebuhraya DUKE 3, selain sambungan ke Jalan Tun Razak, Jalan Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail.

Stesen pertukaran Mass Rapid Transit (MRT) TRX akan memperkukuhkan lagi hubungan pengangkutan TRX, dengan adanya aliran Sungai Buloh-Kajang yang mengelilingi pusat bandar Kuala Lumpur dan aliran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya yang menghubungkan kawasan sub-bandar utama.

Ia juga mempunyai kedua-dua aliran MRT yang bakal melalui Stesen TRX. Stesen TRX setinggi lima tingkat dan sepanjang 250 meter, menjadi stesen bawah tanah paling dalam sepanjang aliran Sungai Buloh – Kajang.

TRX juga akan mengintegrasi sambungan pengangkutan di kawasan terbabit dengan pengangkutan lain seperti LRT dan Monorel.

Selain itu, TRX juga akan dilengkapi dengan sambungan pejalan kaki yang menghubungkan kawasan itu dengan Bukit Bintang. – MalaysiaGazette