Dr. Dzulkefly Ahmad
Dzulkefly Ahmad

SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memantau isu pelanggan menjadi lemah dan khayal selepas menikmati hidangan di sebuah kedai makan di Teluk Intan, Perak seperti dilaporkan media semalam.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya sedang menunggu laporan lanjut mengenai isu itu daripada pihak terlibat untuk diteliti terlebih dahulu memandangkan ia baharu dikesan.

“Saya baharu dapat berita itu, saya yakin ini telah menjadi kes polis. Saya masih tunggu laporan lanjut maka saya belum boleh beri komen (mengenainya) namun KKM akan pantau perkara terbabit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek ‘Embracing Community Healthcare Outreach (ECHO)’ anjuran Management and Science University (MSU) di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan beberapa pelanggan mengalami simptom lemah dan khayal selepas menikmati hidangan di kedai makan tersebut pada Ahad lepas.

Berdasarkan daripada aduan yang dibuat pelanggan, Jabatan Kesihatan Negeri Perak dan Polis Diraja Malaysia melakukan satu operasi bersepadu ke atas premis terbabit pada Selasa menyebabkan tukang masak serta dua pembantunya warga Bangladesh ditahan kerana didapati positif dadah jenis opiat.

Dalam perkembangan lain, Dr Dzulkefly menggalakkan lebih banyak universiti awam dan institusi pengajian tinggi swasta menganjurkan pelbagai program berkaitan kesihatan melibatkan komuniti, sejajar dengan usaha KKM menyantuni rakyat khususnya menerusi Skim Peduli Kesihatan (PeKa B40) yang akan dilaksana secara berperingkat mulai bulan depan.

Memuji pelancaran projek ECHO oleh MSU yang disifatkan berkait dengan program PeKa B40, beliau yakin penggemblengan tenaga antara kedua-dua pihak kelak dapat mengembangkan lagi usaha kerajaan untuk menyebarkan manfaat kesihatan kepada rakyat.

“MSU antara terasnya adalah penglibatan dengan komuniti dan saya perhatikan aktiviti pelajarnya (menerusi program ECHO) berkait dalam penjagaan kesihatan seperti mana yang kita sasar menerusi PeKa B40.

Kita perlukan tenaga (untuk melaksanakan PeKa B40). Jika pelajar diizin terlibat dalam program seperti ECHO ini, maka mereka boleh membantu pasukan KKM dalam menyantuni komuniti,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata, penganjuran aktiviti seumpama itu juga dilihat mampu memberi pendedahan kepada pelajar untuk mengendalikan pelbagai program penjagaan kesihatan seterusnya mempersiapkan mereka dalam memenuhi pasaran kerja selepas tamat pengajian.

Pada majlis sama juga, Dr Dzulkefly turut merasmikan Skuad Sokongan Bantuan Perubatan MSU dan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman antara MSU dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, yang antara lain untuk memperkasa kerjasama dalam bidang perkembangan kesihatan secara menyeluruh, pertukaran hasil dan bahan kajian serta penyediaan perkhidmatan kesihatan.

Program ECHO merupakan inisiatif International Medical School MSU dalam membangunkan masyarakat secara holistik melalui pelbagai aktiviti kesukarelawanan melibatkan kesihatan, anak yatim, komuniti Orang Asli, golongan miskin bandar serta autoriti.

— BERNAMA