Nur Sharizatul Solehah Saiful
Nur Sharizatul Solehah Saiful

KUALA LUMPUR – Adik Nur Sharizatul Solehah Saiful, 10, antara murid pintar Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Merbau, Kedah.

Bagaimanapun, selepas bapanya meninggal dunia dalam kemalangan maut tahun lepas, dia mungkin menjadi murid malang kerana tidak dapat meneruskan persekolahannya di tempat baharu di Kelantan.a

Ini dikatakan berpunca daripada kelemahan sistem pendaftaran persekolahan oleh Kementerian Pendidikan, menyebabkan anak yatim ini menjadi mangsa keadaan.

Berikutan hilang tempat bergantung, ibunya, yang enggan nama disiarkan, membawa bersama tiga lagi anaknya pulang ke tanah air di Kelantan dan berhasrat agar Nur Sharizatul menyambung pembelajarannya di SK Kuala Tiga, Tanah Merah.

Namun, permohonannya untuk memasuki kelas Tahun 4 di sekolah itu tidak diterima oleh pihak sekolah atas alasan murid berkenaan tidak mempunyai surat dari SK Lubuk Merbau.

Serentak itu, ahli keluarganya menghubungi SK Lubuk Merbau memaklumkan mengenai masalah yang dihadapinya, tetapi pihak sekolah berkenaan memberitahu penjaga Nur Sharizatul telah memohon pemindahan ke SK Bandar Baru Sintok, Kedah.

Menurut datuk angkat murid malang itu, Ramli Abdul Halim, 60-an, pihak SK Lubuk Merbau memintanya menghubungi SK Bandar Baru, Sintok berhubung pertukaran itu.

Katanya, keluarga anak yatim itu  mahu berpindah pulang ke Kelantan demi keperluan masa depan anak-anak selepas kehilangan ketua keluarga.

“Dengan kepayahan seorang ibu empat anak untuk berulang alik dari sekolah asal ke sekolah baharu di Kedah, sepatutnya pihak sekolah di Tanah, Kelantan menghulurkan bantuan bagi meringankan penderitaan yang ditanggung keluarga itu.

“Bantuannya tidaklah berat sangat, hanya pihak SK Kuala Tiga, Tanah Merah menghubungi dan mengurus daripada pihak SK Bandar Baru, Sintok mengenai permohonan anak yatim ini.

“Itu sahaja pertolongan yang keluarga ini perlukan sebab sudah tentu kedua-dua sekolah berkenaan mempunyai kemudahan komunikasi,” katanya kepada MalaysiaGazette semalam.

Kata Ramli, tiga lagi adik beradik Nur Sharizatul boleh meneruskan pembelajarannya di SK Kuala Tiga dan seorang lagi belajar di pra-sekolah, tetapi kenapa anak sulung keluarga itu menghadapi masalah.

“Lagipun, lebih menyusahkan keluarga ini, apabila saya dimaklumkan nama Nur Sharizatul juga tidak ada dalam senarai murid baharu yang akan belajar di Tahun 4 SK Bandar Baru Sintok

“Ini mungkin kerana kecuaian dan ketidakarifan ibu Nur Sharizatul yang berdepan dengan pelbagai kesulitan mengurus anak berikutan kematian suami.

“Dalam hal ini Nur Sharizatul tidak patut menjadi mangsa,” katanya.

Jelas Ramli, sepatutnya urusan itu dimudahcarakan oleh pihak sekolah bagi membolehkan beliau belajar di SK Kuala Tiga, Tanah Merah, yang merupakan sekolah paling dekat dengan lokasi tempat mastautin keluarganya sekarang.

“Masa depannya murid ini tidak patut digelapkan semata-mata kerana dia anak orang kecil dan yatim.

“Kalau perlu, bukan hanya Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) atau Ketua Pengarah Pendidikan memudahcarakan supaya Nur Sharizatul dapat bersekolah dengan segera mungkin, tetapi Menteri, Dr. Maszlee Malik  juga patut campur tangan demi masa depan Nur Sharizatul,” katanya.

Beliau berkata, maklumat lanjut mengenai masalah dihadapi Nur Sharizatul boleh menghubunginya di talian 017-9671912. – MalaysiaGazette