MEDIU telah berpindah sepenuhnya ke kampus utama di Desa Petaling, Kuala Lumpur pada Oktober lalu.

KUALA LUMPUR – Al-Madinah International University (MEDIU) menawarkan biasiswa bernilai hampir RM2 juta kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian di pering­kat asasi, pra ijazah dan ijazah sarjana muda di universiti itu.

Ketua Eksekutif MEDIU, Prof. Emeritus Dr. Ismawi Zen berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1,209,000 diperuntukan di pering­kat asasi, pra ijazah dan bakinya bagi ijazah sarjana muda.

Menurut beliau, MEDIU memiliki elemen yang membabitkan inklusi sosial apabila golongan sederhana, tidak berkemampuan serta yang terpinggir diberi peluang untuk berjaya dengan memperkenalkan biasiswa pengajian untuk semester pertama bagi pengajian ijazah sarjana muda.

“Kepada pelajar yang memiliki Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf dengannya adalah dialu-alukan untuk merebut peluang ini. Tawaran ini merangkumi kursus pengajian di Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Bahasa, Fakulti Kewangan dan Pengurusan Perniagaan serta Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat.

“Lebih menarik, MEDIU turut memperkenalkan biasiswa pengajian sepenuhnya kepada pelajar yang mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan mengikuti program asasi (pra ijazah) dalam Bidang Bahasa Arab dan Pengajian Islam.

“Program Ini bertujuan bagi memberi peluang kepada anak-anak tempatan untuk menyambung pengajian mereka di peringkat menara gading dan persediaan selama setahun tahun bagi mengikuti pengajian di peringkat jjazah sarjana muda bagi memastikan  tidak ada yang ketinggalan dalam mengejar arus pembangunan di peringkat tertinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mediu
Ketua Eksekutif Universiti Al-Madinah Antarabangsa (Mediu), Prof. Emeritus Dr. Ismawi Zen.

MEDIU kini mempunyai lebih 4,000 orang pelajar yang sedang mengikuti pengajian di kampus secara konvesional dan secara jarak jauh atau atas talian terdiri 90 buah negara dengan penyediaan lebih 80 kursus akademik yang telah memperolehi akradetasi dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Mediu ditubuhkan sejak 10 tahun yang lalu sebagai sebuah universiti antarabangsa di Shah Alam dan berperanan sebagai universiti berkonsep wakaf yang ketika itu dikenali universiti maya atau dalam talian sebelum memulakan pengajian dalam kampus pada 2010.

Ismawi menambah, MEDIU kini berperan sebagai institusi pendidikan tinggi bagi memantapkan lagi kaedah pendidikan negara dengan mengguna pakai amalan terbaik antarabangsa dan tenaga pensyarah dari luar negara.

Ujar beliau, secara tidak langsung ia membolehkan MEDIU menjadi alternatif kepada pelajar yang ingin menyambung pengajian ke Timur Tengah.

“Sehingga kini MEDIU berjaya membentuk mahasiswa yang memiliki kemahiran berkomunikasi di peringkat antarabangsa. Sistem pendidikan Bahasa Arab di MEDIU ternyata amat berkesan dalam membina kemahiran dengan keupayaaan berdasarkan keperluan masa kini.

“Keberkesanan sistem ini adalah kombinasi tenaga pengajar dari luar negara khususnya dari negara Timur Tengah dan suasana dalam kampus MEDIU sendiri,” katanya.

Sementara itu, bagi pendaftaran untuk pengambilan baharu, pelajar yang berminat boleh melayari laman sesawang rasmi Al-Madinah International University (MEDIU) di www.mediu.edu.my  dengan mengisi borang di ‘APPLY NOW!’.

Mereka juga boleh hadir pada hari pendaftaran terbuka yang akan diadakan pada 28 dan 29 Februari ini  bertempat di Kampus utama MEDIU di Desa Petaling, Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette