Manchester City.

LONDON – Pemilik Manchester City, City Football Group (CFG) mengumumkan secara rasmi kumpulan itu telah membeli sebuah kelab bola sepak di China.

BBC Sport melaporkan, kelab tersebut adalah Sichuan Jiuniu beraksi dalam divisyen tiga China.
Ketua Pegawai Eksekutif CFG, Ferran Soriano berkata, pembelian Sichuan Jiuniu merupakan salah satu langkah terbaharu oleh firma tersebut.
Dia memberitahu China merupakan pasaran penting dalam industri sukan bola sepak.

Katanya, CFG mengalu-alukan kehadiran Sichuan Jiuniu dalam portfolio dimiliki mereka dan pengambilalihan ini bukanlah dibuat oleh CFG semata-mata.

Sebaliknya melibatkan dua firma lain iaitu firma robotik UBTECH dan China Sports Capital.

Sichuan Jiuniu kini bermain di dalam saingan Chinese League Two iaitu divisyen tiga bola sepak China.

Kelab itu ditubuhkan pada 2006 selepas kelab bola sepak Sichuan Guancheng berkubur.

Mereka beraksi di Longquanyi Stadium yang boleh membuatkan 42,000 penonton pada satu-satu masa.

CFG kini sudah mempunyai tujuh kelab yang berkaitan dengan organisasi tersebut.

Selain Manchester City, Melbourne City (Australia), New York City (Amerika Syarikat), mereka juga mempunyai saham dalam Yokohama F. Marinos di Jepun. – MalaysiaGazette