Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo (tengah) berbual dengan Penasihat Media dan Komunikasi di Pejabat Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin (kiri) sambil diiringi Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Razali Ismail (kanan) ketika hadir pada Majlis SUHAKAM Bersama Media di Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 21 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang meneliti untuk mewujudkan undang-undang dan jawatankuasa Parlimen bagi mengekang penyalahgunaan media sosial sehingga mencetuskan kebencian dan fahaman ekstremis. 

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh, satu sistem perlu diwujudkan untuk memastikan tiada penyebaran maklumat palsu tersebar.

“Kerajaan sedang meneliti beberapa cadangan bukan setakat undang-undang sahaja ada juga cadangan yang melihat bagaimana kita boleh mewujudkan industri di mana ada  peraturan sebelum sesuatu dilaporkan, maka ada sistem ianya diperiksa dahulu untuk menentukan fakta atau sebagainya.

“Ianya akan mengambil sedikit masa apabila siap dan sedia kita boleh membuat pengumuman dalam sidang media untuk beritahu apakah hala tuju kita kalau perlu kita bawa RUU dibentang dalam Parlimen tetapi berikan kita sedikit masa,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis anjiran Majlis Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (SUHAKAM) hari ini. 

Penularan maklumat yang dibimbangi kesahihannya dan berisiko mencetus kekacauan kata Gobind dan menjadi keutamaan kerajaan Pakatan Harapan walaupun membenarkan kebebasan media. 

“Satu perkara yang menjadi perkara yang sangat besar dalam dunia adalah isu berkenaan keadaan di mana laporan dibuat tanpa asas dari segi fakta ini boleh mengundang bahaya daripada segi menggugat keamanan dan ia juga boleh kesan padah dan berat kepada pihak yang mana laporan itu dibuat.

“Kerajaan mengambil serius, kita telah sebut kita kerajaan baharu akan laksanakan kebebasan media. Dalam masa yang sama kita ada undang-undang bermaksud ada batasannya,” ujarnya. 

Sebelum itu Gobind ketika berucap menyatakan bahawa Malaysia perlu menumpukan perhatian terhadap cara untuk mengekang penyebaran maklumat yang palsu dan berisiko mencetuskan kekacauan. – MalaysiaGazette