Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada Bicara Persada Cameron Highland ke Semenyih : Adakah Lanskap Politik Akan Berubah? di UKM Bangi, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 21 FEBRUARI 2019.

BANGI – Perubahan lanskap politik di negara ini selepas PRU-14 membuatkan UMNO dan Pas kini boleh duduk semeja dan bekerjasama, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ujarnya, ekoran perpecahan tersebut membuatkan parti berteraskan agama dan bangsa itu menerima kesannya setelah dinafikan hak mereka pada 9 Mei lalu.

“Sebelum ini kita lihat perpecahan yang begitu besar dalam kalangan orang Melayu di negara ini walaupun kita nampak diperintah oleh Melayu.

“Tapi bila timbulnya kesedaran ini bermulanya kerjasama antara UMNO dan Pas akan berubah landskap politik bukan sahaja di Semenyih namun di seluruh negara,” katanya selepas menjadi ahli panel Bicara Persada ke 49 tema ‘Cameron Highlands ke Semenyih: Adakah landskap politik akan berubah?, di Canselori Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini.

Program bicara dengan turut membawakan Naib Presiden Pas, Idris Ahmad, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu merangkap Penyelaras Bersatu Sabah, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan pensyarah sains politik UKM, Prof. Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff sebagai panelis.

Ismail berkata, formula kerjasama di PRK Parlimen Cameron Highlands membawa tuah kepada gabungan itu di mana dapat menarik 22 peratus pengundi Orang Asli dan 34 perantau pengundi Melayu dalam memastikan BN mengekalkan kedudukannya di kawasan itu.

“Kalau dibawa ke Semenyih, kita ada 20 peratus Orang Asli dan 70 peratus pengundi Melayu. Kerjasama ini adalah struktur dan gerak kerja memerlukan satu perubahan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Agus bingkas memperingati Ismail tentang perubahan mendadak yang dipamerkan oleh parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini.

“Saya nak peringatkan (Datuk Seri) Ismail, kena tengok Pas nak rapat-rapat kena hati-hati sebab takut diangkat bawa balik sebab Pas tak konsisten, banyak kali melompat,” sindir Agus.

Mempertahankan kenyataan Ismail, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad pula berkata parti itu bekerjasama dengan UMNO atas dasar agama.

Ujarnya, kerjasama itu pernah dipamerkan dengan gabungan DAP dalam Pakatan Rakyat.

“Kita berkawan dengan siapa pun tapi garis panduan kita Islam sebagai barang pertaruhan kita sebab itu kita kawan ngan DAP dulu.

“Tapi sebab (DAP) berubah kita tarik hand break,” katanya lagi. -MalaysiaGazette