Hishammuddin Hussein
Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Sikap kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang suka mencari kesalahan dan menuding jari kepada kerajaan terdahulu bukan satu rahsia lagi.

Malah mereka sebenarnya lebih suka mencari kesalahan kerajaan Barisan Nasional (BN) berbanding menguruskan kerajaan kini dengan mentaliti pembangkang yang masih menebal.

Begitu luahan bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dalam catatan laman sosial Facebook beliau hari ini.

Jelas Ahli Parlimen Semborong itu, beliau mengalu-alukan sebarang siasatan terhadapnya berhubung dakwaan urusniaga tukar tanah atau land swap sehingga Kementerian Pertahanan mengalami kerugian sehingga mencecah RM500 juta.

Kata Hishamuddin, dakwaan itu sebenarnya lebih kepada mengalih perhatian daripada kepincangan kepimpinan PH sekarang selain mengaburi mata rakyat.

“Tidak ada apa-apa yang disembunyikan oleh saya malah saya amat mengalu-alukan siasatan bukan sahaja terhadap saya sebaliknya semua Menteri sejak tahun 1997 seperti mana konteks rule of law.

“Memang bukan lagi satu rahsia matlamat utama kerajaan PH adalah untuk ‘menggali’ sebanyak mungkin kesalahan bagi memastikan rakyat terus dikaburi oleh mereka yang tidak menjalankan tanggungjawab mereka ketika ini dengan menerajui negara.

“Penemuan ini hanya bertujuan untu mengalih perhatian rakyat daripada fakta bahawa mereka tidak melakukan apa-apa sehingga kini.

“Ingin saya tegaskan di sini, cukup-cukuplah. Sudah tiba masanya untuk anda-anda (menteri) mula ambil tanggungjawab dan bekerja.

“Tiba masanya untuk mereka menjaga keselamatan angkatan bersenjata dan keluarga mereka, sudah tiba masanya untuk mereka menjaga kebajikan veteran tentera kita yang telah melindungi negara kita. Cukuplah ,” tegasnya.

Kementerian Pertahanan mendedahkan kerajaan rugi lebih RM500 juta bagi urus niaga land swap (penswastaan untuk memajukan tanah) membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, perkara itu terdedah hasil siasatan yang dibentangkan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang pada 28 Januari lalu.

Dakwa Mohamad, terdapat juga campur tangan politik dalam pemilihan lokasi land swap berkenaan yang dipercayai untuk kepentingan politik pihak tertentu.

Malaysiakini pula melaporkan setakat ini terdapat 16 projek sebegitu sejak 1997 sehingga sekarang termasuk pembinaan kem tentera Paloh yang terletak di kawasan Hishammuddin di Sembrong.

Selain Hishammuddin, antara individu lain yang pernah memegang portfolio sebagai Menteri Pertahanan sejak 1997 ialah Tan Sri Syed Hamid Albar, Datuk Seri Najib Tun Razak, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. –MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/19/mindef-rugi-lebih-rm500-juta-urusniaga-tukar-tanah/