BANGI –  Program Sembang Santai Bossku bersama Datuk Seri Najib Razak telah ditangguhkan bukan batal.

Menurut Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohd. Hamdi Abd. Shukor, keputusan itu dicapai oleh universiti kerana program itu adalah anjuran daripada pelajar.

Tambah beliau, sebarang kenyataan akan dikeluarkan oleh Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Roslee Rajikan dalam masa terdekat.

“Saya difahamkan oleh HEP, program ini ditunda dan kena tanya Tan Sri HEP untuk maklumat lanjut. Program ditangguh ke satu tarikh yang lebih selesa. Bukan dibatalkan.

“Tarikh bila nak diadakan semula kena rujuk dengan HEP,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Untuk rekod, pihak pengurusan UKM dilaporkan telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan sama ada mahu meluluskan program ‘Sembang Santai Bossku’ atau sebaliknya dan mengambil keputusan membenarkannya.

Najib yang juga bekas Perdana Menteri sebelum ini dijadualkan hari ke bangunan Pusanika UKM jam 3.30 petang esok bagi satu program santai.

Program itu dipercayai ditangguhkan kepada tiada penglibatan daripada pihak pengurusan universiti kerana segala perancangan dilakukan oleh pelajar universiti berkenaan.

“Program ini dikendalikan pelajar UKM, mereka jemput dan tidak rujuk kepada pihak pengurusan dan tidak ada kena-mengena dengan kami.

“Semua panggil kepada ahli politik dan penggiat seni adalah daripada pelajar jadi kami buka seluas-luasnya kepada pelajar untuk berinteraksi dan berbincang dengan fikiran terbuka.

“Perkara ini akan diuruskan oleh HEP sahaja. Naib Canselor tidak terlibat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette