Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit mencatatkan prestasi berbeza berbanding peningkatan baru-baru ini untuk ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini.

Ia berikutan pelabur mengalihkan minat mereka kepada mata wang negara maju itu selepas minit mesyuarat Rizab Persekutuan AS (Fed) dikeluarkan pada pagi Khamis.

Pada 5 petang, mata wang tempatan susut 120 mata asas atau 18.75 peratus kepada 4.0760/0810 berbanding dolar AS daripada 4.0640/0700 pada Rabu.

Peniaga berkata minit mesyuarat itu menunjukkan pertumbuhan ekonomi dan pasaran tenaga kerja AS kekal kukuh, sekali gus mendorong pasaran menjangkakan kemungkinan kenaikan kadar faedah oleh Fed tahun ini.

“Minit mesyuarat berpihak kepada kadar faedah lebih tinggi berbanding jangkaan itu menyebabkan pelabur beralih kepada dolar AS berbanding mata wang pasaran pesat membangun yang lebih berisiko, termasuk ringgit,” katanya.

Bagaimanapun, peniaga berkata penurunan mata wang tempatan dihadkan oleh harga minyak mentah lebih kukuh dan sentimen pasaran positif di Malaysia.

Semasa penutup pasaran hari ini, ringgit juga diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0121/0163 daripada 3.0066/0115 pada Rabu dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.3249/3335 daripada 5.2986/3081.

Ringgit juga lemah berbanding yen Jepun kepada 3.6817/6869 daripada 3.6679/6743 semalam, dan rendah berbanding euro kepada 4.6153/6230 daripada 4.6106/6195.

— BERNAMA