KUALA LUMPUR – Saham di Bursa Malaysia bercampur-campur pada sesi dagangan awal pagi ini disebabkan aktiviti pengambilan untung susulan kenaikan kukuh baru-baru.

Pada 9.15 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada 1,723.69, turun 2.49 mata daripada paras penutup 1,726.18 pada Rabu.

Indeks itu dibuka 3.81 mata lebih rendah kepada 1,722.37.

Public Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikannya berkata aktiviti pengambilan untung dijangka menjadi lebih rancak manakala FBM KLCI berusaha untuk menembusi di atas paras ketahanan 1,734.

Bagaimanapun, bank pelaburan itu masih menjangkakan indeks petunjuk pasaran berada dalam aliran tinggi bagi tempoh berbaki minggu ini, berada di paras antara 1,720 dan 1,734, memandangkan minit mesyuarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat daripada mesyuaratnya pada Januari menunjukkan para pegawai secara umumnya cenderung memihak kepada pendekatan tunggu dan lihat bagi kadar faedah.

Suasana pasaran masih positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 215 berbanding 128, manakala 248 kaunter tidak berubah, 1,264 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 425.96 juta saham bernilai RM166.02 juta.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi di Bursa Malaysia, Maybank susut satu sen kepada RM9.51, Public Bank turun enam sen kepada RM25, Tenaga jatuh dua sen kepada RM13.36 dan Petronas Chemicals berkurangan 19 sen kepada RM8.96.

Dalam kalangan saham cergas, Bumi Armada turun dua sen kepada 20.5 sen, Sapura Energy naik setengah sen kepada 33 sen dan Eduspec susut setengah sen kepada tiga sen.

Indeks FBM Emas turun 7.78 mata kepada 12,033.00, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 8.16 mata kepada 12,033.29 dan FBMT 100 susut 9.96 mata kepada 11,887.57.

Indeks FBM Ace naik 10.28 mata kepada 4,709.97 dan FBM 70 meningkat 17.85 mata kepada 14,504.23.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 6.28 mata kepada 17,790.02, Indeks Perladangan turun 13.52 mata kepada 7,485.04 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.11 mata kepada 167.38.

— BERNAMA