Datuk R Sri Sanjeevan
Pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk R Sri Sanjeevan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diingatkan tidak melupakan skandal kewangan Maika Holdings Berhad dan jangan menumpukan kepada 1MDB sahaja.

Pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk R. Sri Sanjeevan berkata, kerajaan perlu bersungguh menyiasat skandal mega lain termasuk yang berlaku pada zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa menjadi Perdana Menteri keempat.

Sanjeevan berkata, Maika Holdings Berhad adalah salah satu daripada skandal kewangan terbesar negara era 80-an perlu diberi pembelaan kerana ia telah menjejaskan pelaburan 66,000 individu India dengan kerugian RM106 juta.

“Banyak keraguan berlaku dalam Maika Holdings dan bagaimana boleh kehilangan begitu banyak wang pelaburan.

“Untuk mengembalikan keyakinan masyarakat India kepada Kerajaan PH, satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) perlu ditubuhkan bagi menyiasat keraguan tersebut,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Kata Sanjeevan, pelaburan 1MDB yang dibiayai daripada wang royalti minyak Terengganu tidak sama seperti Maika Holdings di mana ia hasil dana titik peluh, darah dan keringat masyarakat India negara ini.

“Maika Holdings diasaskan oleh Tun S.Samy Vellu pada 13 September 1982 dan mula beroperasi  31 Januari 1983 bertujuan meningkatkan ekonomi masyarakat India yang kebanyakannya miskin ketika itu.

“Ramai orang percaya dengan harapan dan janji menjadikan Maika sebuah syarikat yang kaya dengan wang tunai. Malah, Maika mempunyai salah satu rizab tunai terbesar negara pada masa itu.

“Ketika itu mereka dijanjikan pulangan antara 10 hingga 20 ganda keuntungan namun sehingga kini semuanya lesap,” katanya.

Bagaimanapun selepas tujuh tahun beroperasi, Maika Holdings mengumumkan kerugian berjumlah RM4.69 juta hingga memaksanya menjual saham untuk membayar hutang.

“Kewangannya semakin buruk pada tahun 1990 dengan skandal Telekom di mana Maika sepatutnya membeli 10 juta saham pada harga RM5 seunit namun ia berakhir dengan satu juta saham sahaja,” katanya.

Katanya lagi, meskipun Maika berupaya menjana keuntungan pada tahun 2008 dengan jumlah terkumpul RM106.7 juta namun syarikat itu dijual kepada dua ahli perniagaan iaitu Tan Sri G. Gnanalingam dan Tan Sri S. Kunasingam melalui pegangan 125 juta saham.

“Apa yang mengecewakan adalah pengurusan baru mendakwa hutang ditanggung Maika adalah RM190 juta sebaliknya rakan kongsi mereka mendakwa kerugian sebenar hanya RM60 juta,” katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa perlu membuka kertas siasatan melalui RCI kerana didakwa wujud pelbagai aktiviti mencurigakan dan tidak jelas menyebabkan pelabur masih menunggu sehingga kini.

“Isunya banyak sangat mencurigakan dalam Maika Holdings dan bagaimana mereka boleh kehilangan begitu banyak duit. RCI ditubuhkan segera untuk siasat kes ini.

“Transaksi penjualan Maika Holding kepada dua Tan Sri terbabit juga meragukan dan ia juga harus disiasat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan