KLIA

KUALA LUMPUR – Semua lapangan terbang Malaysia Airports akan diletakkan di bawah program penanda aras, Airport Service Quality (ASQ) kendalian Majlis Antarabangsa Lapangan Terbang (ACI).

ASQ merupakan program penanda aras yang mengukur kepuasan penumpang ketika mengembara menerusi lapangan terbang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, pihaknya akan memastikan tahap perkhidmatan semua lapangan terbang antarabangsa kendaliannya diukur menurut standard global.

“Kini Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi menyertai program ini,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, daripada data tahun lalu, terdapat peningkatan pergerakan trafik antarabangsa sebanyak 15 peratus di lapangan terbang selain KLIA.

Raja Azmi memberitahu, adalah jelas bahawa lapangan terbang terbabit juga menyumbang sebagai pintu masuk negara dan membantu mewujudkan kesan kepada negara.

Sementara itu, tambah beliau, pihaknya juga akan memastikan kesediaan lapangan terbang kendalian Malaysia Airports memenuhi rangka kerja Quality of Service (QoS) yang disasarkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

“Walaupun Mavcom hanya mengukur terminal di KLIA untuk QoS ketika ini, terdapat rancangan untuk melaksanakan QoS di lapangan terbang di Kota Kinabalu dan Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Subang pada akhir tahun ini,” katanya.

Kata Raja Azmi, pihaknya berusaha semua lapangan terbang kendaliannya melaksanakan QoS pada 2020. – MalaysiaGazette