Pengerusi Suhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan bercakap semasa forum Analysis and Recommendation on Preventing Political Patronage and Corruption in Malaysia di Aloft Kuala Lumpur Sentral, Brickfields. foto MUHAMMAD ZULHAIRI, 21 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menyiasat laporan media berhubung dakwaan terdapatnya edaran risalah berunsur provokasi ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun akan meminta laporan daripada pihak sekretariat SPR dan pasukan pengua tkuasa berkenaan perkara itu terlebih dahulu.

“Buat masa ini, saya tidak ada laporan tentang itu mungkin boleh ditanya kepada penguat kuasa.

“Pasukan penguat kuasa beri laporan dan jika ada saya tengok dahulu,” katanya kepada Malaysia Gazette ketika ditemui pada Forum Analisis Konflik kepentingan dan Saranan pencegahan Rasuah di Malaysia hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan media bahawa terdapat kain rentang yang dipasang oleh sebuah parti politik berunsur provokasi pada PRK di DUN Semenyih yang sedang berlangsung ketika ini.

Terdahulu, Malaysia Gazette melaporkan terdapat kain rentang yang dipasang di tepi jalan menunju ke Beranang berlogo Pakatan Harapan (PH) tertera tulisan berunsur provokasi dipercayai cuba dikaitkan dengan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kain rentang tersebut turut ditulis dengan perkataan ‘Kami Bukan Pencuri, Kami Bukan Pembohong, Kami Bukan Perompak’ yang dilihat tidak disenangi oleh penyokong dari parti Barisan Nasional (BN).

Malah, terdapat juga risalah diedarkan kepada orang ramai memburukkan Najib di sebuah pasar raya di pekan Semenyih.

Sebelum ini, calon PH pada PRK tersebut Muhammad Aiman Zainali, 30, menafikan edaran risalah dan juga kain rentang itu dilakukan oleh penyokong-penyokong daripada partinya.

Dalam pada itu Azhar berkata, pihaknya akan melihat secara keseluruhan sama ada benar terdapat unsur-unsur provokasi pada kempen PRK berkenaan.

Katanya, perkara tersebut akan disiasat terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil terhadapnya. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/18/kain-rentang-provokasi-kempen-prk-semenyih/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/19/aiman-nafi-risalah-kain-rentang-provokasi-dilakukan-jentera-ph/