A. Kadir Jasin

KUALA LUMPUR – Tidak wajar melarang mana-mana ahli mahupun pemimpin dalam komponen Pakatan Harapan (PH) mendesak Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri. 

Sebaliknya kata Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin kritikan dalam gabungan itu adalah lambang prinsip demokrasi dalam negara.

Sama juga seperti undi tidak percaya yang disifatkan beliau sebagai sebahagian daripada sistem demokrasi.

“Hakikat bahawa seorang pemimpin DAP boleh mengkritik dan menggesa Perdana Menteri meletakkan jawatan menunjukkan kita demokratik.

“Adakah kita suruh pecat yang membuat kritikan atau gesaan itu? Tidak bukan?

“Saya tidak terbabit dalam gerakan mempertahankan Perdana Menteri sebab tiada keperluan. Itu (undi tidak percaya) sebahagian daripada proses demokrasi. 

“Masalahnya kita tidak dapat memahami erti sebenar demokrasi, justeru kenapa perlu sedih kalau ada pihak yang menggesa supaya Perdana Menteri perlu meletakkan jawatan?” katanya kepada pemberita selepas hadir Majlis Pertemuan Bersama Media anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

Ahli Jawatankuasa DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau Selasa lalu mendesak Dr. Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri kerana memperlekah Manifesto PH.

Ia susulan kenyataan Pengerusi Bersatu itu yang menyifatkan ‘manifesto tersebut hanyalah satu garis panduan dan bukannya Bible’ yang perlu dipatuhi.

Malah, Cheng Hau turut berkata, pemimpin-pemimpin PH yang percaya tiada perubahan boleh dilakukan dalam kerajaan tanpa Mahathir adalah bodoh.

Cheng Hai turut menyelar tindakan Dr. Mahathir yang membiarkan penyertaan bekas ahli UMNO ke dalam Parti Pribumi BersatuMalaysia (PPBM).

Dalam perkembangan lain, A Kadir berkata, usaha penubuhan Majlis Media Malaysia ketika ini sedang dijalankan oleh dua pihak, iaitu agensi media cetak dan digital, selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kini mempunyai draf Rang Undang-Undang (RUU) .

Namun jelas Kadir, ia terlebih dahulu perlu diserahkan kepada kerajaan jika memerlukan peruntukan perundangan di negara ini.

“Serahkan kepada Ketua Peguam Negera misalnya untuk diteliti. Saya membantu saja untuk galakkan mereka buat yang terbaik demi media massa dan wartawan di Malaysia,” katanya.-MalaysiaGazette