KUALA LUMPUR – Portal Sarawak Report (SR) hari ini membuat satu lagi pendedahan mengejutkan yang mengaitkan Pas.

Dalam satu laporan, SR mendakwa pemberian dana sebanyak RM3.5 juta kepada Pas daripada UMNO berlaku sebelum PRU-14 lepas.

Portal yang banyak membuat pendedahan dari pemberi maklumat  itu mendakwa, pembantu kepada bekas Bendahari Agung UMNO, Datuk Seri Salleh Keruak telah memasukkan wang tunai RM2.5 juta ke dalam akaun Bank Islam milik Pas.

Pada hari yang sama juga, RM1 juta juga telah dimasukan secara tunai oleh UMNO ke dalam akuan Pas sekaligus menjadikan jumlahnya RM3.5 juta pada 21 Mac 2018.

Dakwa SR lagi, pemberian wang itu sebenarnya bagi memastikan Pas bertanding di banyak tempat pada PRU-14.

“SR mendapat pengesahan bahawa wang yang dibayar kepada Pas itu digunakan sebagai deposit pilihan raya untuk calon parti yang bertanding dengan rekod jumlah kerusi terbesar.

“Begitu jelas sekali bagaimana UMNO secara diam-diam telah membayar jumlah begitu besar untuk kerusi-kerusi yang ditandingi oleh Pas dan kemudiannya bersandiwara selepas PRU kononnya mereka secara terbuka bersatu.

“Malah kedua-dua parti ini boleh bekerjasama sehingga mampu bertolak ansur dalam kerusi-kerusi yang dipertandingkan kini,” kata Sarawak Report dalam pendedahan terbaru mereka hari ini.

Hadi Awang

Dalam pada itu, dalam artikel ekskluif itu turut mendakwa bukti yang telah dipertontonkan kepada umum hari ini  sepatutnya dikemukakan kepada mahkamah di London sebagai sebahagian daripada pembelaan oleh Pengasas serta Editor SR, Clare Rewcastle Brown.

Clare berdepan dengan saman fitnah oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagaimanapun ianya kemudian telah ditarik balik serta diselesaikan di luar mahkamah.

Hadi Awang pada 2 Februari lepas memutuskan untuk memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah berhubung kes saman beliau terhadap Clare selepas meneliti keseluruhan tindakan mahkamah yang difailkan daripada semua aspek dan mempertimbang pandangan serta nasihat peguam.

Editor The Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown menunjukkan buku The Sarawak Report pada Majlis Pelancaran The Sarawak Report :The Inside Story of the 1MDB Expose di Grand Ballroom, Hotel Sheraton, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 08 SEPTEMBER 2018
Editor The Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown

Clare selaku defendan dan editor Sarawak Report itu juga menarik balik tuntutan balas terhadap Presiden PAS itu.

Abdul Hadi menyaman Clare susulan dakwaannya bahawa Umno menyalurkan sejumlah RM90 juta kepada Pas dengan hasrat untuk melamar parti itu menjelang PRU lalu.

Pas telah bertanding di 155 kerusi, kerusi parlimen paling banyak yang dipertandingkan oleh mana-mana parti di negara ini.

Deposit untuk bertanding kerusi parlimen adalah RM10,000 manakala kerusi negeri pula bernilai RM5,000. –MalaysiaGazette