Paul Stadlen

KUALA LUMPUR – Pasukan Pendakwa Raya masih belum dapat mendakwa tanpa kehadiran (in absentia) penasihat media bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Paul Stadlen.

Sebaliknya, prosiding yang berlangsung semalam itu hanya bagi mendapatkan waran tangkap ke atas Stadlen yang dilapor telah meninggalkan negara ini sejurus selepas kekalahan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 9 Mei tahun lalu.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, pihaknya sudah berjaya mendapatkan waran tangkap tersebut ke atas warganegara Britain itu ketika ini.

Ahmad Akram yang juga pendakwa kes peguam Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun memberitahu, dalam prosiding Stadlen dan Hafarizam terlibat dalam kes yang sama.

“Jika Stadlen telah berjaya ditemui dan dihadapkan ke mahkamah, besar kemungkinan kesnya akan dibicarakan bersama dengan Hafarizam.

“Kami telah mendaftarkan pertuduhan di mahkamah dan telah berjaya dapatkan waran tangkap. Hanya melalui pendaftaran pertuduhan waran ini dapat diperolehi.

“Langkah-langkah untuk mengesan Paul telah dibuat iaitu mendaftarkan kes ke mahkamah, mendapatkan waran tangkap dan menyerahkan waran tangkap itu kepada Polis Antarabangsa (Interpol) kerana dia kini berada di luar negara,” katanya.

Pagi tadi, peguam Stadlen, Kevin Gold dalam kenyataan mendakwa kerajaan Malaysia mempunyai agenda politik dengan mendakwa Stadlen selain tiada peruntukan undang-undang mendakwa suspek tanpa kehadiran.

Pihak Stadlen juga mendakwa hanya mengetahui pihak berkuasa Malaysia mencarinya melalui media pada 1 November sebelum bertindak menghubungi wakil negara ini.

Bagaimanapun dakwa Kevin, panggilan itu tidak mendapat sebarang maklum balas daripada kerajaan Malaysia malah pihak negara ini juga sengaja menggunakan media bagi membocorkan maklumat pendakwaan terhadap anak guamnya.

Paul pernah berkhidmat dengan Najib Razak dalam pasukan komunikasi hal ehwal antarabangsa, beliau dikatakan akan didakwa tanpa kehadirannya atas pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta.–MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: Pendakwaan ke atas Paul Stadlen bermotifkan politik – peguam

Paul Stadlen tinggalkan negara sebelum PRU14

SPRM cari Paul Stadlen

Stadlen sah terlibat skandal 1MDB – Mohd Shukri

Hafarizam tidak mengaku salah kes pengubahan wang haram RM15 juta