Najib Razak
Najib Razak

SEMENYIH – Sebarang pemberian sama ada barang mahupun benda berharga kepada pengundi sepanjang kempen pilihan raya boleh dianggap sebagai satu cubaan untuk membeli undi dan sokongan daripada pengundi.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan sekiranya mana-mana parti politik atau individu yang bertanding berbuat demikian, tindakan itu tetap boleh ditafsirkan sebagai membeli undi.

“Kita tak boleh buat apa-apa dalam waktu pilihan raya ini, ia boleh dianggap sebagai membeli sokongan.

“Jadi kalau ada macam ini boleh ditafsirkan sebagai membeli undi,” katanya ketika ditemui selepas beramah mesra dengan pengundi di Restoran Cuba Rasa, di Semenyih Central, di sini, petang ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini yang menafikan pemimpinnya cuba membeli undi selepas didapati memberikan barangan hamper dan surat tawaran bantuan baik pulih rumah seorang pengundi di Sungai Jai, di sini.

Muhyiddin berkata, pemberian bantuan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun sudah dirancang lebih awal sebelum pilihan raya iaitu semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Terdahulu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir mendakwa Pakatan Harapan cuba membeli undi seorang pengundi di Sungai Jai, di sini.

Mohd Zaidy berkata, ketika BN mengadakan program ziarah kasih, mereka mendapati terdapat sebuah hamper dan sampul surat rasmi daripada kerajaan di dalam rumah salah seorang pengundi di Sungai Jai.

Selain itu terdapat risalah PH di hamper tersebut dan di atas surat rasmi tertulis tawaran baik pulih rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Najib yang enggan menggulas lanjut berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menilai tindakan itu sekiranya menerima laporan.

“Jadi kalau ada orang buat laporan, terserah kepada SPR untuk menentukannya,” katanya. – MalaysiaGazette