Penyanyi, Misha Omar membuat persembahan pada Anugerah Juara Lagu 33 (AJL 33) di Axiata Arena, Bukit Jalil. foto SYAFIQ AMBAK, 03 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Selepas difitnah mengamalkan sihir untuk meraih kemenangan Anugerah Juara Lagu Ke-33 (AJL 33) yang lalu, Misha Omar lega apabila dua daripada tiga individu yang membuat dakwaan itu tampil memohon maaf.

Bagaimanapun Misha pelantun lagu Sampai Bila itu berkata, beliau tetap akan membuat laporan polis berasingan terhadap seorang pengguna laman sosial yang masih menyembunyikan identiti diri itu.

“Alhamdulillah, segala-galanya selesai hari ini apabila dua anak muda yang saya anggap sebagai hero, berani muncul untuk meminta maaf secara terbuka.

“Tiada dendam, malah saya sangat lega kerana segala beban yang bersarang di hati terhapus sebaik pertemuan ini berlangsung. Seperti dijanjikan, permohonan maaf ini tanpa syarat dan saya maafkan mereka dengan hati terbuka.

“Sekarang, tinggal satu lagi pengguna media sosial yang enggan mengaku, sedangkan fitnah itu dicetuskan menerusi akaun Twitter miliknya. Laporan polis berasingan akan menyusul untuk mengenal pasti individu terbabit,” katanya.

Semalam ketika sidang media Misha, turut hadir dua ndividu terbabit iaitu Fairuz Azwan Akhir Sufian, 32, dan Ahmad Azhar Aziz, 27 yang membuat permohonan terbuka dengan bersemuka dengannya.

Untuk rekod, Misha pada minggu lalu berkata tidak teragak-agak untuk memfailkan saman jika individu yang memfitnahnya gagal membuat permohonan maaf dalam tempog tujuh hari.-MalaysiaGazette