Mohd Uzir Mahidin

KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (IHP) pada Januari 2019 susut 0.7 peratus kepada 120.5 berbanding 121.3 bagi tempoh sama tahun lepas.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata ini berikutan penurunan dalam indeks pengangkutan (-7.8 peratus) yang menyumbang 14.6 peratus daripada keseluruhan wajaran, telah diimbangi dengan peningkatan indeks kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2.0 peratus) dan makanan dan minuman bukan alkohol (1.0 peratus).

“Purata harga RON 95 yang lebih rendah pada Januari 2019 iaitu RM1.98 seliter berbanding RM2.28 seliter pada Januari 2018 telah menyumbang kepada perubahan negatif indeks pengangkutan dan indeks keseluruhan.

“Tambahan pula, purata harga RON 97 turut menunjukkan penurunan harga kepada RM2.28 seliter berbanding RM2.55 seliter manakala diesel mencatat penurunan harga iaitu RM2.12 seliter daripada RM2.31 pada bulan sama tahun lepas,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, kumpulan utama makanan dan minuman bukan alkohol terus menunjukkan peningkatan pada Januari 2019 apabila menokok 1.0 peratus kepada 132.9 berbanding 131.6 pada bulan sama tahun sebelumnya.

Kategori makanan dan minuman bukan alkohol itu menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP.

Selain itu, kategori atau kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain turut meningkat 2.0 peratus dan diikuti restoran dan hotel (+1.2 peratus), minuman alkohol dan tembakau (+1.1 peratus) dan pendidikan (+0.9 peratus).

Bagi asas bulanan, IHP itu turut mencatat penurunan 0.5 peratus berbanding Disember 2018.

Semua indeks negeri mencatat penurunan antara -0.2 peratus hingga -1.5 peratus bagi Januari 2019 berbanding bulan sama pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan perubahan positif sebanyak 0.2 peratus berbanding bulan sama pada 2018, kata kenyataan itu.

— BERNAMA