Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sambil diiringi Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad (dua kiri) dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (dua kanan) bergambar bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain (kanan) dan Pengarah Projek MRCBGK, Patrick Hwang Chee Leong (kiri) sambil memegang dokumen pernjanjian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Novasi untuk Transit Aliran Ringan (LRT) 3 di Menara UOA Bangsar, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Setakat ini, sejumlah RM504 juta telah dibayar kepada kontraktor model siap guna (turnkey contractor) projek LRT3, MRCB- George Kent Sdn. Bhd. (MRCB-GK).

Manakala baki RM255 juta lagi akan dibayar kepada sembilan Kontraktor Pakej Kerja selepas pemeteraian perjanjian novasi yang ditandatangani hari ini.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana), Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain, soal tunggakan pembayaran kepada kontraktor sudah tidak menjadi isu lagi.

“Pembayaran sudah pun dibuat cuma bakinya sebanyak RM 255juta akan dilunaskan selepas pemeteraian perjanjian novasi yang berlangsung pada hari ini.

“Insya Allah, proses untuk menyelesaikan baki tunggakan tersebut akan dimulakan,” katanya semasa sidang media selepas menandatangani perjanjian novasi bersama MRCB-GK dan sembilan Kontraktor Pakej Kerja hari ini.

Perjanjian tersebut membolehkan sembilan kontraktor pakej kerja tersebut bertukar daripada rejim Rakan Kongsi Penyampaian (PDP) projek kepada rejim Kontrak Harga Tetap.

MRCB-GK merupakan kontraktor model siap guna sementara Prasarana berperanan sebagai majikan kepada projek.

Jelas, Mohamed Hazlan, di bawah kontrak baharu itu, Prasarana berjaya mengurangkan risiko kewangan kerana kos pembangunan projek LRT 3 telah pun ditetapkan.

“Risikonya akan ditanggung oleh kontraktor selepas ini, Prasarana tidak perlu lagi risau dengan kemungkinan kos akan naik pada masa akan datang,” katanya lagi.

Terdahulu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa ucapannya berkata, pembayaran sebanyak RM381 juta telah dbuat sebelum pemeteraian perjanjian Kontrak Harga Tetap manakala RM123 lagi telah dibayar selepas itu.

Baki sejumlah RM255 juta lagi akan dibuat selepas hari ini.

Beliau juga menegaskan, Prasarana hanya perlu membayar keseluruhan sebanyak RM760 juta sahaja kepada kontraktor dan bukannya RM808 juta seperti yang dilaporkan sesetengah media sebelum ini.

Ini jelasnya, kerja-kerja bernilai RM48.6 juta telah pun dirasionalisasikan.

Pemeteraian perjanjian novasi disaksikan Guan Eng, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.

Di bawah perjanjian baharu, LRT 3 dengan kos RM16.63 yang menghubungkan Bandar Utama ke Johan Setia, Kelang dijangka siap pada 28 Februari 2024.

Ia masih mengekalkan jarak landasan sepanjang 36.6km dilengkapi 20 stesen dengan lima stesen baharu akan dibina pada masa hadapan.- MalaysiaGazette