Donald Trump. foto CNN

WASHINGTON – Sebagai langkah berjaga-jaga, Amerika Syarikat (AS) masih lagi menempatkan sekurang-kurangnya 200 daripada 2,000 anggota tenteranya di Syria, selepas perintah pengunduran dilakukan oleh Presiden, Donald Trump.

Agensi melaporkan, Rumah Putih dalam kenyataan berkata, AS masih mahu mengekalkan anggota tenteranya untuk seketika di negara bergolak itu sehingga negara itu berpuas hati dengan keadaan di Syria.

Pada 20 Disember lepas, Trump mengumumkan beliau akan mula mengundurkan kira-kira 2,000 anggota tentera AS daripada perang Syria.

Ketika itu, beberapa ahli Republikan parti Trump mengutuk hebat presiden itu dengan berkata, mereka tidak diberi taklimat awal dan tindakan untuk mengukuhkan penguasaan Rusia dan Iran yang kedua-duanya menyokong Presiden Syria, Bashar al-Assad.

Menurut jurucakap Rumah Putih, Sarah Sanders, kerajaan merasakan 200 anggota tentera itu dikekalkan bagi tujuan keselamatan dan pemantauan untuk suatu tempoh sebelum diberitahu.

“Kumpulan pasukan pengaman terdiri daripada 200 orang akan dikekalkan di Syria untuk satu jangka waktu,” katanya dalam kenyataan.

Namun demikian, Sanders tidak memberikan butiran lanjut tetapi pengunduran tentera pengaman bakal membuka jalan kepada sekutu Eropah untuk memberi komitmen misi yang sama dalam masa terdekat.

Trump sebelum ini mendakwa kemenangan ke atas militan Daesh di Syria, walaupun masih beribu-ribu anggota kumpulan itu masih kekal dan meneruskan perjuangan di kubu pertahanan terakhir mereka.

Pengkritik menganggarkan beberapa perkara yang kemungkinan berlaku kesan daripada pengunduran tentera termasuk serangan daripada Turki terhadap tentera Kurdis dan pemberontak militan Daesh.

Baru-baru ini, Jeneral Joseph Votel yang bertanggungjawab memantau tentera AS di negara-negra Teluk telah mula mengeluarkan arahan pengunduran dalam masa beberapa minggu secara berperingkat.

Kata Votel yang juga merupakan Ketua Pemerintah Pusat AS, pengunduran itu mengikut tempoh masa dan berperingkat berikutan keadaan semasa di Syria ketika ini.

Trump dengan penuh keyakinan mengumumkan strategi serta komitmennya dalam memerangi pengganas Daesh di Syria akan tumpas dalam tempoh seminggu lagi.

Kata Trump, beliau menjangkakan kumpulan militan itu akan kehilangan kesemua wilayah yang dikuasainya di Syria dalam tempoh kurang daripada seminggu.

“Kita akan buat pengumuman minggu depan secara rasmi, buat masa ini yang ingin saya cakap hanyalah tentera kita (AS), pasukan pakatan serta tentera Demokratik Syria serta Iraq sudah berjaya bebaskan semua wilayah yang dikuasai militan Daesh sebelum ini.

“Saya boleh katakan, kita sudah 100 peratus berjaya, tunggulah pengumuman kita secara rasmi minggu hadapan,” katanya. –MalaysiaGazette