Imran Khan
Imran Khan

KUALA LUMPUR –  Baru-baru ini tersebar sebuah klip video kelihatan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan tercedera di kepala.

Malah video itu kemudian mencetuskan dakwaan laporan mengatakan Imran mati ditembak.

Bagaimanapun menurut laporan Altnews, ia palsu sebaliknya video itu adalah laporan berita pada 7 Mei 2013, apabila Imran ketika itu tercedera akibat jatuh dari sebuah forklift yang mengangkatnya ke pentas pada kempen pilihan raya Pakistan waktu itu.

Oleh itu, visual yang dikongsi di media sosial sudah lama dan tidak berkaitan kepada serangan pistol seperti yang didakwa, tambah Altnews lagi.

Pada Isnin yang lalu, stadium kriket di seluruh India menurunkan potret bekas kapten yang kini Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan sebagai tanda protes susulan pembunuhan 41 anggota tentera para di wilayah Kashmir yang ditadbir India minggu lalu.

India menyalahkan Pakistan susulan serangan bunuh diri ke atas konvoi tentera yang sekali gus mencetus gesaan meluas supaya tindakan diambil ke atas negara berjiran itu.

Imran yang mengetuai pasukan Pakistan sehingga mengungguli Piala Dunia pada 1992 dianggap antara pemain terbaik sukan berkenaan.

Bagaimanapun Cricket Club of India di Mumbai memprotes dengan menurunkan potret Khan dan beberapa bintang Pakistan lain.-MalaysiaGazette