KUALA LUMPUR – Itu merupakan antara persoalan yang bukan sahaja ditimbulkan oleh M Indira Gandhi, juga sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Indira Gandhi Action Team (Ingat).

Peliknya dari tahun 2014 hingga ke saat ini, pihak berkuasa masih lagi gagal menjejaki K Pathmanathan @ Muhammad Riduan Abdullah, 48 yang menghilangkan diri bersama anak perempuannya.

Prasana masih bayi ketika diambil bapanya, Muhammad Riduan seorang mualaf yang menukar agama dirinya serta anak-anak tanpa mendapat persetujuan ibunya, Indira pada 2009.

Tindakan itu kemudian mendapat pertikaian mahkamah sebelum kemenangan diberikan kepada Indira.

Waran tangkap juga dikeluarkan ke atas Muhammad Riduan namun sehingga kini polis tidak berjaya mengesan lelaki itu dan anaknya.

Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama tiga anak Indira Gandhi hampir 10 tahun lalu kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Arun Dorasamy

Pengerusi Ingat, Arun Dorasamy berkata, pihaknya mendapatkan maklumat berhubung kanak-kanak perempuan itu dan akan membuat pendedahan dalam masa terdekat.

“Maklumat yang kita perolehi, kanak-kanak itu tidak pernah bersekolah sejak 11 tahun, malah sehingga kini kita sendiri tidak pasti adakah Prasana itu hidup.

“Kita akan buat pendedahan mengejutkan dalam masa terdekat, kita tidak pernah berputus asa dan mahukan jawapan juga, keperitan yang dilalui oleh Indira perlu di jawab,” ujarnya dalam laman sosial Facebooknya.

Sebelum ini, Indira Gandhi sendiri pernah mengemukan surat terbuka menyoal mengapa pihak polis belum mendapat jawapan tentang kehilangan anak perempuannya dengan bekas suaminya setelah sekian lama.

Wanita itu yang juga mempunyai dua lagi anak Tevin Darsiny, 21; Karan Dinish, 20 tinggal bersamanya, tidak kisah jika anak bongsunya itu mahu terus kekal dalam agama Islam.

“Prasana Diksa boleh terus kekal Islam dan saya tidak ada halangan jika itu pilihan dia.

“Saya cuma mahu memeluk, menciumnya dan melihat keadaannya sekarang kerana sudah terlalu lama tidak berjumpa,” katanya seperti dilaporkan media sebelum ini.

Indira Gandhi mengakui agama bukan boleh dipaksa dan menghormati pihak lain.

“Sebagai ibu, saya hanya mahu melihat bagaimana anak saya membesar. Berilah saya kesempatan untuk memeluknya selepas sekian lama tidak bertemu, saya mahu melihat keadaan anak saya dan bercakap dengannya.

“Saya menang di mahkamah, namun ia tidak bererti jika saya tidak dapat berjumpa Prasana. Jika dia mahu kekal beragama Islam, itu pilihannya tetapi hubungan saya dengannya sebagai ibu yang melahirkan tidak akan pernah putus. Jangan putuskan hubungan kami,” ujarnya. –MalaysiaGazette