Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa PAS supaya PAS berhenti menggunakan politik sebagai gelanggang untuk menabur fitnah dan pembohongan.

KUALA LUMPUR – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa PAS supaya PAS berhenti menggunakan politik sebagai gelanggang untuk menabur fitnah dan pembohongan.

“Saya nasihat sebagai orang Islam, saya ingin nyatakan kita boleh berpolitik tetapi hentikan politik fitnah dan bohong,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Lembah Pantai, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas berkenaan kenyataan Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi hari ini, yang mendakwa bahawa Anwar adalah ‘orang di belakang tabir’ yang ingin membuat undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sehubungan itu, Anwar berkata perbuatan PAS itu telah mencemar dan merosakkan imej Islam dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan bukan Islam.

“Saya nak nasihat, orang Islam tak boleh fitnah, dulu dia (PAS) cakap boleh bohong, sekarang dia boleh fitnah”

“Kalau dia (PAS) nak guna politik untuk gelanggang fitnah dan bohong, jangan guna nama Islam. Dia (PAS) merosakkan imej Islam atas nama parti Islam.”

“Imej islam itu jadi rosak, orang bukan Islam kata zaman sekarang syeikh-syeikh boleh bohong, boleh fitnah,” katanya yang juga Anggota Parlimen Port Dickson.

Polemik berkenaan undi tidak percaya timbul apabila Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan mendakwa terdapat dua parti komponen dalam Pakatan Harapan mungkin merancang pembelotan terhadap Dr Mahathir.

Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata akan mengotakan janji menyokong Dr. Mahathir sekiranya undi tidak percaya itu berlaku, bagi meneruskan kepimpinan Islam dalam kerajaan.

— BERNAMA

1 Komen

  1. Nk cavor isu 90 juta terpaksa lah Pas sendiri pecah lobang..klau tidak mcmna Pas boleh tau..?itu lah politik matangbdan sejahtera Pas..!

Comments are closed.