Rachel Lau (kanan). foto Bernama

KUALA LUMPUR – Bekas gimnas negara, Rachel Lau dipilih sebagai presiden baharu Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) bagi penggal 2019-2021 pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) persatuan berkenaan hari ini.

Rachel, 33, menang tanpa bertanding jawatan presiden MGF selepas penyandang, Datuk Jaya Al Bakri tidak mempertahankan kedudukan tersebut.

Rachel akan dibantu Timbalan Presiden Kau Jit Kaur; dan tiga naib presiden – Tengku Ahmad Ridhwanuddin, Al Hambra Tun Juhar dan Dr Farrah Hani Imran, manakala Raja Hamzah Abidin Raja Nong Chik dilantik sebagai bendahari dan Jimmy Tan kekal selaku setiausaha agung.

Jawatan naib presiden yang dipertandingkan pada AGM hari ini, menyaksikan Al Hambra mendapat sokongan tertinggi sebanyak 39 undi, manakala Tengku Ahmad Ridhwanuddin memperoleh 32 undi. Dr Farrah Hani pula dipilih kerana beliau merupakan satu-satunya calon wanita bagi jawatan tersebut.

Rachel berkata kepimpinan baharu itu terdiri daripada pemimpin perniagaan berkelayakan daripada pelbagai sektor korporat, dan beliau berjanji untuk memperkenalkan tahap ketelusan berbeza terhadap Persatuan Sukan Kebangsaan (NSAs) dan tadbir urus lebih baik dalam MGF.

Untuk rekod, Rachel mewakili Malaysia dalam gimnastik berirama pada pelbagai kejohanan, termasuk Piala Kasaagi, Piala Snow, Kejohanan Kebangsaan, Sukan Malaysia (Sukma) dan Sports Excel.

Beliau pernah menduduki tempat kedua dan ketiga dalam beberapa kejohanan. Beliau mengambil keputusan mengundur diri daripada sukan gimnastik ketika berusia 16 tahun selepas meraih tempat kedua pada Sukan Sekolah-Sekolah Asia.

Berikut senarai jawatankuasa MGF penggal 2019-2021:

Presiden : Rachel Lau

Timbalan Presiden : Kau Jit Kaur

Setiausaha Agung : Jimmy Tan

Naib Presiden : Tengku Ahmad Ridhwanuddin,
Al Hambra Tun Juhar
Dr Farrah-Hani Imran

Bendahari : Raja Hamzah Abidin Raja Nong Chik