Gobind Singh

KUALA LUMPUR – Dasar bagi memperkasa industri ekonomi digital sedang dirangka dan dijangka diumumkan pada suku ketiga tahun ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, pada masa ini, kementeriannya sedang mengadakan perbincangan dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi mendapatkan pandangan berhubung pelaksanaan dasar itu.

“Kita bincang dengan MDEC dan kita telah wujudkan satu kumpulan yang terdiri daripada mereka dalam kalangan industi kerana kita mahu mendapatkan pandangan mereka sebelum sesuatu polisi dirangka,” katanya selepas menghadiri PJ Startup Festival 2019 di sini, hari ini.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Gobind berkata rakyat Malaysia merupakan antara masyarakat dunia yang paling tinggi berhubung secara digital dengan kira-kira 80 peratus mempunyai akses Internet dan sebahagian besarnya melalui rangkaian mudah alih.

“Bagaimanapun kami sedar akan kewujudan jurang digital iaitu kita ketinggalan dari segi standard antarabangsa dalam penggunaan digital oleh perniagaan.

“Ramai yang masih bimbang dan ini disebabkan tiada kesedaran dan pengetahuan. Sesetengahnya mungkin tidak mempunyai sumber kewangan untuk mengguna pakai amalan yang perlu bagi mempermudah kemasukan mereka dalam dunia digital,” katanya.

Beliau berkata, Pelan Fiberisasi dan Sambungan Negara (NFCP) yang dilancarkan tahun lepas dengan tujuan menyediakan perkhidmatan jalur lebar yang teguh, pantas serta murah kepada rakyat, disasar meliputi sekurang-kurangnya 98 peratus kawasan berpenduduk utama dengan kelajuan Internet paling tidak 30 Megabait sesaat menjelang 2023. – MalaysiaGazette