Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Berikutan masih terdapat salah faham berhubung sumber pembiayaan lawatan Polis Diraja Malaysia ke Istanbul, Turki baru-baru ini, Setiausaha Akhbar Lim Guan Eng hari ini tampil memberi penjelasan.

Lutfi Hakim mendakwa salah faham terhadap kenyataan Menteri Kewangan itu telah secara tidak bertanggungjawab diputar belit oleh segelintir media dan pemimpin pembangkang.

Di bawah ini adalah kenyataan penuh berhubung isu tersebut.

Masih terdapat salah faham berhubung dengan sumber pembiayaan lawatan sambil belajar pegawai kanan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) ke Istanbul, Turki baru-baru ini. Ini adalah merujuk kepada laporan segelintir media dan pemimpin pembangkang yang secara tidak bertanggung jawab cuba memutarbelitkan kenyataan Menteri Kewangan YB Lim Guan Eng berkaitan dengan tajaan ke atas lawatan kerja tersebut.

Harus ditekankan bahawa situasi ini telah diperjelaskan sebelum ini di dalam siaran media Menteri Kewangan yang diterbitkan pada 15 Februari 2019, dan juga semasa sidang media di Kementerian Kewangan pada 13 Februari 2019.

Semasa menjawab soalan daripada pemberita pada 13 Februari 2019, YB Lim telah menyatakan bahawa lawatan kerja tersebut ditaja oleh Lembaga Totalisator Malaysia(LTM), yang mendapat sumber kewangan daripada operasi perjudian, termasuk syarikat nombor ramalan Da Ma Cai.

YB Lim telah menegaskan bahawa LTM tidak mendapat satu sen pun daripada Kementerian Kewangan dan oleh itu, Lembaga Pengarah LTM berhak membuat keputusan tanpa merujuk kepada Kementerian Kewangan.

Rakaman percakapan yang penuh (yang dilampirkan bersama) akan membuktikan YB Lim secara konsisten menyatakan lawatan kerja ditaja oleh LTM dan LTM mendapat sumber kewangan daripada Da Ma Cai.

Saya yakin kenyataan dan rakaman yang diberikan ini akan dapat menjelaskan situasi sebenar berkaitan hal ini.

Maklumat tambahan: Sebelum lawatan sambil belajar ke Istanbul ini, sebanyak tiga lawatan kerja pegawai kanan PDRM ke luar negeri pernah diluluskan untuk ditaja oleh Lembaga Pengarah Lembaga Totalisator Malaysia iaitu pada tahun 2012, 2013 dan 2014. – MalaysiaGazette

Terima kasih

Lutfi Hakim
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kewangan
Pejabat Menteri Kewangan Malaysia
23 Februari 2019