Seorang peniaga bercakap sesuatu kepada Calon BN PRK N.24 Semenyih, Zakaria Hanafi (kiri) ketika sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil N.24 Semenyih di Pasar Tani Prima Saujana, Semenyih, Selangor. foto MUHAMMAD ZULHAIRI, 23 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Barisan Nasional (BN) tidak akan berjanji sesuatu yang tidak dapat ditunaikan kepada pengundi.

Calon BN, Zakaria Hanafi berkata, beliau tidak akan berjanji sampai bulan dan bintang tetapi berusaha memenangi hati pengundi kerana komponen itu adalah pembangkang sekarang.

“Pengundi di kawasan ini boleh menilai sendiri janji-janji yang gagal ditunaikan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Kita kena jadi efektif dan utamakan masalah pengundi di Semenyih,” katanya kepada MalaysiaGazette setelah walkabout pada hari kelapan kempen PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di Pasar Tani Taman Jenaris, hari ini.

MGF23022019_CALON BN WALKABOUT PASAR PAGI04
Calon BN PRK N.24 Semenyih, Zakaria Hanafi (kiri) bersalaman dengan penduduk setempat ketika sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil N.24 Semenyih di Pasar Tani Prima Saujana, Semenyih, Selangor. foto MUHAMMAD ZULHAIRI, 23 FEBRUARI 2019

Zakaria berkata demikian mengulas mengenai kenyataan calon PH, Muhammad Aiman Zainali yang berjanji akan menyelesaikan semua masalah pengundi Semenyih sehari selepas gabungan itu memenangi PRK Semenyih.

Jelas Zakaria lagi, ramai pengundi-pengundi Semenyih datang merungut kepadanya yang menyatakan mereka kecewa dengan PH dan akan menyokong BN dalam PRK kali ini.

“Memang ramai pengundi merungut mengenai kegagalan kerajaan PH tunaikan janji manifesto. Janji lama pun tidak tertunai, ini calon PH nak buat janji baharu kepada pengundi.

“Lepas tu banyak pulak percanggahan, pemimpin cakap lain, calon cakap lain. Pengundi rasa mereka kena tipu dan tidak puas hati,” katanya lagi.

Aiman membuat janji itu di hadapan kira-kira 150 penduduk Batu 26, Beranang kelmarin.

Katanya, beliau berusaha untuk membantu rakyat yang berhadapan dengan masalah jalan raya berlubang, tiada lampu jalan, sampah sarap dan pendatang asing tanpa izin.

“Dalam beberapa hari ini, saya sudah bertemu dengan penduduk. Banyak aduan dan keluhan tentang jalan raya sempit dan berlubang; lampu jalan yang tidak bernyala, sampah sarap serta pendatang asing.

“Jadi, dua haribulan kita menang, tiga haribulan saya selesaikan semua masalah. Saya akan usahakan,” katanya Aiman.

Janji itu dizahirkan Aiman di hadapan Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Muhyiddin dilihat seperti terkedu setelah mendengar janji Aiman. – MalaysiaGazette