Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah meluangkan masa melihat sebahgian gambar fotografi yang dipamerkan pada program pelancaran fotografi sempena Simposium dan Pameran Fotografi Stand With Yemen di International Institute of Islamic Civilisation & Malay World (ISTAC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 23 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR- Malaysia tidak akan menyokong mana-mana negara yang mencetuskan peperangan dan krisis kemanusian.

Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan Malaysia akan terus mengamalkan dasar tidak campur tangan serta berhenti daripada memberi sokongan kepada kempen ketenteraan di Yaman yang diketuai Arab Saudi.

“Kami tidak akan berpihak kepada mana-mana kuasa besar dan kami juga tidak akan bergantung kepada mana-mana pakatan ketenteraan dan kerjasama strategik.

“Jangan harap kami akan menyertai anda memerangi musuh dan jangan harap kami akan turut sama berperang,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah di acara T di sini hari ini.

Tambah Dr. Mahathir, Malaysia telah menyerahkan notis kepada semua negara supaya menghormati pendirian Malaysia di dalam hal tersebut.

Beliau turut menggelarkan negara-negara seperti Amerika Syarikat, Britain dan Perancis yang sibuk melaungkan demokrasi dan hak asasi manusia sebagai hipokrit kerana dalam masa yang sama telah menyemarakkan peperangan di Yaman dengan penjualan senjata api bernilai berbilion ringgit di rantau itu.

“Demokrasi dan kestabilan politik di Asia Barat tidak boleh dilaksanakan di atas mayat-mayat rakyat Yaman, Syria,Iraq dan lain-lain.

“Ia juga tidak boleh dibangunkan di atas runtuhan bangunan yang menjadi mangsa pengeboman,” katanya lagi.

Tambah Dr. Mahathir, permusuhan kuasa besar dan dasar campur tangan asing di Asia Barat seharusnya menjadi peringatan kepada Malaysia dan Asean untuk lebih berhati-hati dengan penglibatan kuasa-kuasa besar di rantau ini.

“Kita sudah pun mula melihat bibit-bibit konfrontasi dan permusuhan di dalam rantau ini.

“Sempadan telah pun digariskan, pangkalan telah dibina, armada telah bersedia dan tekanan untuk memilih pasukan mana yang harus disokong makin dirasai.

“Sekiranya kita tidak berhati-hati, nasib yang menimpa Asia Barat akan turut dialami di rantau ini.

“Kita akan dipaksa untuk membeli jumlah senjata yang semakin bertambah daripada kuasa-kuasa besar supaya kita boleh berperang sesame sendiri manakala mereka pula membuat keuntungan di atas angin,” ujarnya.

Jelasnya, Malaysia akan bekerjasama dengan rakan-rakan Asean untuk meningkatkan rangka kerja sedia ada bagi memastikan tiada ruang ditinggalkan untuk kuasa-kuasa besar masuk campur.

Ia juga adalah untuk memastikan permusuhan di antara China dan Amerika Syarikat tidak akan menggugat kestabilan serantau.-MalaysiaGazette