Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelar perbuatan pihak tidak bertanggungjawab meletakkan patung berhala di Surau Sabilul Huda, Taman Pendamar Indah, Klang, dua hari lalu.

Beliau menegaskan, tindakan itu jelas berniat jahat untuk menghina agama Islam dan menjejaskan keharmonian kaum serta agama di negara ini.

“Polis telah menerima beberapa laporan mengenai perkara ini dan saya telah mengarahkan Ketua Polis Negara untuk menyiasat kes ini secara terperinci.

“Tindakan tegas berasaskan undang-undang hendaklah diambil ke atas pihak yang melakukan perbuatan terkutuk yang berbaur hasutan dan amat provokatif ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khamis lalu, penduduk Taman Pendamar Indah, gempar apabila dikejutkan dengan penemuan sebuah patung berhala yang diletakkan bersebelahan pintu masuk utama di Surau Sabilul Huda, di Klang.

Difahamkan, patung itu diletakkan individu tidak bertanggungjawab antara jam 2.30 petang hingga 4 petang sebelum disedari oleh siak yang datang untuk membuat persiapan solat Asar di surau berkenaan.

Siak surau itu, Mohd Yatim Omar, 64, berkata, patung itu ditemuinya ketika mahu membuka pintu surau berkenaan yang berkunci pada jam 4.15 petang.

Beliau yang terkejut dengan penemuan itu kemudiannya memanggil ahli jawatankuasa serta kariah surau tersebut bagi melihat sendiri patung tersebut.

Menurut Muhyiddin, kejadian penghinaan terhadap agama Islam sejak kebelakangan ini amat berbahaya dan telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan umat Islam.

“Ini termasuk mesej penghinaan terhadap agama Islam yang disebarkan di media sosial,” katanya.

Yang terbaharu kes penghinaan terhadap Nabi Muhammad dan suspek kes itu telah dikenalpasti serta siasatan diselesaikan oleh polis.

“Saya percaya Timbalan Pendakwaraya akan membuat keputusan mengenai pendakwaan suspek tersebut di mahkamah dalam masa terdekat.

“Kementerian saya tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan penghinaan terhadap agama yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat.

“Mereka yang melakukan perbuatan keji ini perlu ditahan mengikut proses undang-undang, didakwa di mahkmah dan dihukum jika disabitkan kesalahan,” katanya. – MalaysiaGazette