Gelagat seorang kanak memegang lenggang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa hadir ke Tesco sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Tesco Seri Putri, Semenyih. foto SYAFIQ AMBAK, 23 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Sepatutnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah lama menunaikan janji manifesto gabungan itu untuk memansuhkan tol.

Jika kerajaan memansuhkan tol ketika Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih, maka tindakan itu disifatkan untuk memancing undi sahaja dan bukan untuk tunaikan janji manifesto.

“Kita tengok apa pengumuman itu nanti. Sebab ini janji kepada rakyat dan mereka menunggu,” kata Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membayangkan ada berita gembira mengenai tol dan akan diumumkan pada masa terdekat ini.

Najib ditemui selepas mengadakan lawatan ke Tesco Bandar Seri Puteri petang tadi.

Lebih 500 penduduk sekitar Semenyih mengerumuni bekas Presiden UMNO itu dengan berswafoto dan bermesra.

Sebelum ini, Najib mengeluh kerana terpaksa membayar tol ketika dalam perjalanan ke Semenyih bagi kempen PRK kawasan itu.

Secara sinis, beliau berkata: “Saya ingat tidak perlu lagi bayar tol sebab sudah dimansuhkan tapi saya kena bayar RM2.10 jugak”.

“Maknanya apa, tol masih lagi dikenakan kepadanya pengguna jadi janji mereka (PH) sampai hari ini tidak dilunaskan,” katanya lagi.

Najib yang ditanya mengenai dakwaan wujudnya komplot menggulingkan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam PH, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau tidak mengetahui mengenai perkara terbabit.

“Saya tak boleh nak komen sebab saya tak tahu apa sebenarnya. Cerita di luar macam-macam tapi hakikat sebenarnya saya belum tahu lagi,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Setiuasaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang mendedahkan parti itu sudah membuat akujanji untuk menyokong kepimpinan Dr Mahathir sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) selepas menghidu sesuatu tidak kena berlaku dalam pimpinan gabungan itu. – MalaysiaGazette