Warga pemaju masyarakat Kemas menepuk tangan semasa Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berucap pada Perhimpunan Perdana sambutan Hari Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) 2019 di Dewan D, Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor. foto AFFAN FAUZI, 23 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Penggerak Masyarakat perlu menjadi mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan maklumat tepat kepada penduduk luar bandar mengenai hala tuju kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH).

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, peranan dan tanggungjawab itu masih relevan sehingga kini walaupun sudah enam dekad bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) diwujudkan.

Beliau berkata, walaupun Kemas yang ditubuhkan pada 1961 untuk membanteras warga buta huruf, tetapi dengan perkembangan teknologi dan kemajuan yang dicapai kerajaan, tanggungjawab itu berubah dari semasa ke semasa sehingga kepada dasar kerajaan.

Anggota Kemas perlu melengkapkan diri dengan dasar dan aspirasi kerajaan untuk disampaikan kepada masyarakar luar bandar.

Katanya, Kemas di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar adalah agensi perubahan dan merupakan organisasi utama sumber luar bandar, yang bertujuan memastikan setiap program kerajaan dilaksanakan bersama dengan penduduk.

“Peranan mereka sebagai mata dan telinga kerajaan adalah untuk memastikan agar perancangan kerajaan lebih teratur dan dapat disampaikan kepada masyarakat di luar bandar.

“Saya percaya warga Kemas akan terus menyokong dan memberi dokongan sepenuhnya kepada dasar kerajaan baharu,” katanya pada perasmian Perhimpunan Perdana Hari Kemas 2019 di Dewan D, Tapat Ekspo Pertanian Serdang (MAEPS) dekat sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R. Sivarasa dan kira-kira 5,000 warga Kemas dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Menurut Dr. Mahathir, perhimpunan ini adalah untuk memberitahu hala tuju kerajaan PH dengan slogan “Saya Yang Menjalankan Amanah” kepada warga Kemas agar mereka sentiasa mendokong pihak yang memerintah.

Ujarnya, Kemas mempunyai seramai 17,904 kakitangan melibatkan lebih 800 kakitangan tetap, lebih 9,700 kontrak dan lebih 7,200 diserapkan sebagai kontrak sementara.

Dalam ucapannya juga, beliau memberitahu, kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) menyasarkan keutamaan kepada program berkaitan produktiviti buruh melibatkan penyertaan golongan belia dan suri rumah.

“Program ini banyak menumpukan kepada membantu golongan belia dan suri rumah menjana sumber pendapatan seperti pendidikan, jahitan, dandanan dan komputer.

“Golongan sasar ini akan diberi kesedaran dan peluang untuk melibatkan diri dalam projek dan bantuan berbentuk sokongan melalui kementerian ini,” katanya.

Kata Dr. Mahathir, walaupun sudah 58 tahun berlalu, pelaksanaan kursus dan bimbingan kemasyarakatan terus dipergiatkan seperti kursus keibubapaan, makanan dan kesihatan kerana ia menjadi pemangkin kepada pertambahan pendapatan mereka.

“Bengkel keibubapaan contohnya, mereka sebenarnya memainkan peranan dalam mendidik dan memberi ilmu kepada anak-anak yang memulakan asas mengenal huruf di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska),” katanya. – MalaysiaGazette