Foo Sing Wai (muka dibulatkan) dibebaskan dengan jaminan polis, semalam
Foo Sing Wai (muka dibulatkan) dibebaskan dengan jaminan polis, semalam

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) kecewa apabila lelaki yang ditahan kerana menghina Nabi Muhammad menerusi akaun Facebook baru-baru ini, telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam

Tindakan membebaskan Foo Sing Wai tanpa sebarang pendakwaan disifatkan sebagai satu lagi penghinaan terhadap orang Islam di negara ini.

Jelas Naib Wira Perkasa, Syed Mohd Shahriman Syed Badrishah, bagaimana seseorang yang secara biadab dan kurang ajar menghina Nabi Muhammad boleh dibebaskan tanpa sebarang pendakwaan.

“Sedangkan, perbuatan keji dan biadab Foo Sing Wai itu telah menghina serta menimbulkan kemarahan umat Islam,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad dilaporkan berkata, warga emas berusia 68 tahun itu dibebaskan pada jam 11 pagi.

Suspek ditahan pada 19 Februari lalu di rumahnya di Mentakab, Pahang, sebelum direman tiga hari untuk membantu siasatan kes menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aisyah, melalui Facebook.

Kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, iaitu atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain.

Justeru, Syed Mohd Shahriman menggesa polis meneruskan pendakwaan dengan kadar segera dan wajib ke atas lelaki itu bagi memulihkan rasa marah umat Islam.

Ia juga katanya, sebagai pengajaran kepada orang ramai agar tidak menyalahgunakan media sosial dengan memuat naik sebarang bentuk provokasi yang menyentuh dan mengguris sensitiviti agama serta perkauman. – MalaysiaGazette