Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Sembang Santai Bersama Masyarakat Orang Asal di Kampung Sungai Lalang, Semenyih, Selangor. foto IQBAL BASRI, 24 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Langkah bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak turun berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) adalah kerana bimbang karier politiknya akan terkubur.

Itu dakwa Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila melihat Ahli Parlimen Pekan itu sering menunjukkan muka selepas Barisan Nasional pimpinannya sebelum ini tumbang daripada takhta kerajaan.

“Itu andaian sayalah pasal macam tengok Cameron Highlands dia datang, ke sini pun ada. Dia fikir agak kalau dia tak muncul tu dia akan tenggelam. Orang lupakan dia macam-macam cara.

“Mungkin beliau minat jadi Perdana Menteri semula, sebab itu buat kemunculan.

“Kita tak bimbang, cuma nak ingatkan kembali apa berlaku dalam negara yang menyebabkan BN kalah. Salah satunya ialah Perdana Menteri yang dulu itu.

“Orang tak lupa dan dia sudah pun dikaitkan dengan pelbagai skandal, tuduhan yang dikemukakan di mahkamah. Jadi saya nak ingatkan balik supaya kita tidak lupa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program sembang santai sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di Kampung Baru Semenyih di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, rakyat tidak wajar melupakan penyelewengan dan kesalahan yang dilakukan Najib sehingga negara dibelenggu pelbagai masalah.

“Jangan dilupakan (skandal kerajaan terdahulu) dan sebab itu bila sudah selesai pilihan raya umum, kita lupa faktor itu, setakat itu saja. Jadi elok pada PRK ini, kita mengingatkan balik kepada rakyat,” ujarnya.

Terdahulu, Muhyiddin dalam ucapannya berkata, hanya Pakatan Harapan (PH) mampu membawa rakyat memperoleh kehidupan yang lebih baik.

“Masa depan rakyat Malaysia lebih terjamin di bawah PH sebab itu PRK DUN Semenyih ini amat penting untuk menolak BN. Jangan dengar cakap Najib.

“Jika nak ‘selfie’, silakan tetapi jangan lupa beliau adalah kleptokrasi nombor satu yang merosakkan negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette