Axiata Group Bhd susut dalam dagangan awal hari ini selepas syarikat itu mengalami kerugian bersih dalam tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2018 (FY18).

KUALA LUMPUR – Axiata Group Bhd susut dalam dagangan awal hari ini selepas syarikat itu mengalami kerugian bersih dalam tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2018 (FY18).

Pada 10.30 pagi, saham konglomerat telekomunikasi itu susut 12 sen kepada RM4.13, dengan 672,400 unit bertukar tangan.

Axiata mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM5.03 bilion pada FY18 berbanding keuntungan bersih RM909.48 juta pada tahun sebelumnya, disebabkan pencairan pelaburannya di India dan penghapusan aset yang berjumlah berbilion ringgit.

Kumpulan itu berkata prestasinya terjejas akibat kerugian daripada pencairan dan penyahiktirafan pelaburan di India, daripada syarikat bersekutu dengan pelaburan sederhana berjumlah RM3.7 bilion dan aset sekalu dimansuhkan/penyusut segera berjumlah RM1.8 bilion.

Pendapatannya juga merosot 2.1 peratus tahun ke tahun kepada RM23.89 bilion bagi tahun berakhir 31 Dis, 2018, berbanding RM24.4 bilion yang dicatatkan sebelum ini, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia Jumaat lepas.

Public Investment Bank dalam notanya hari ini menurunkan Axiata menjadi kurang berprestasi daripada neutral memandangkan ia percaya bahawa landskap industri telekomunikasi keseluruhannya kekal mencabar untuk Axiata berikutan tekanan politik dan pengawalseliaan semasa serta persaingan pasaran dengan kedudukannya dijangkakan kurang menarik pada 2019.

Bagi FY18, dividen disytiharkan sebanyak 9.5 sen, lebih tinggi daripada 8.5 sen pada FY17.

“Kami percaya pembayaran yang tinggi sebanyak 85 peratus tidak dapat dikekalkan. Oleh itu, kami mengunjurkan pembayaran yang lebih rendah sebanyak 70 peratus bagi FY19,” katanya.

Malaysia kekal sebagai penyumbang pendapatan terbesar kepada Axiata, sebanyak kira-kira 70 peratus daripada keuntungan bersih normal FY18.

“Juga, kami bimbang terhadap isu cukai keuntungan modal yang belum dijelaskan di Nepal, yang berpotensi menyaksikan pengaliran keluar sejumlah RM1.4 bilion hingga RM1.6 bilion tunai daripada Axiata, walaupun ini dapat dikurangkan menerusi cadangan penjualan sahamnya dalam M1,” Public Investment Bank.

— BERNAMA