Gelagat calon Bebas PRK N.24 Semenyih, Kuan Chee Heng ketika sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil N.24 Semenyih di Pasar Malam Bandar Riching, Semenyih, Selangor. foto IQBAL BASRI, 25 FEBRUARI 2019.

SEMENYIH – Calon bebas, Kuan Chee Heng atau dikenali Uncle Kentang menyifatkan pentas ceramah politik sebagai medan membuat ‘dosa’.

Ini kerana calon-calon parti bertanding menjadikannya untuk memburuk-burukkan antara satu dengan yang lain.

Malah, beliau berkata, berkempen menerusi ceramah lebih kepada menyebar fitnah daripada memomokkan perkara-perkara yang tidak bermanfaat kepada rakyat.

“Ceramah itu untuk bohong saja, untuk bagi janji palsu. Saya rasa adanya ceramah tidak menguntungkan malah buat bising dan orang tak suka dengar ceramah pun.

“Kerana ceramah ini lebih kepada membela diri dan mengutuk lawan. Saya tiada ceramah saya pusing macam orang gila tapi saya rasa diterima orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas melakukan walkabout di pasar malam Seksyen 2 hari ini.

Semasa berkempen beliau bertembung dengan calon PH, Muhammad Aiman Zainali.

MGF25022019_Walkabout Calon Bebas_10
Calon Bebas PRK N.24 Semenyih, Kuan Chee Heng beramah mesra bersama Calon Pakatan Harapan PRK N.24 Semenyih, Muhammad Aiman Zainali ketika sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil N.24 Semenyih di Pasar Malam Bandar Riching, Semenyih, Selangor. foto IQBAL BASRI, 25 FEBRUARI 2019.

Uncle Kentang diminta mengulas mengenai jadual kempennya yang dilihat sepi apabila tidak mempunyai slot ceramah seperti berbanding calon-calon lain yang bertanding pada PRK DUN Semenyih.

Mengulas lanjut beliau berkata, calon tidak perlu untuk menjatuhkan lawannya dari parti lain dan beliau lebih selesa mengamalkan politik bersih tanpa perlu menghina dan memburukkan mana-mana pihak.

Katanya, menggunakan pentas ceramah untuk menghentam pihak lain hanya akan menampakkan ketidakmatangan parti terbabit dan rakyat boleh menilai semua itu.

“Saya rasa tak perlu menjatuhkan lawan. Fitnah memfitnah, kita lupa tuhan.

“Kita lupa agama dalam kita punya kempen. Inilah ketidakmatangan politik di Malaysia. Saya rasa tidak perlulah kita memfitnah lawan kita untuk menjatuhkannya.

“Malah kita kena tunjukkan apa yang boleh membawa Malaysia ke hadapan. Membawa Semenyih ke hadapan, itu yang paling penting,” ujarnya. – MalaysiaGazette