KUALA LUMPUR – Gamuda Berhad yang mengesahkan sedang dalam proses rundingan dengan kerajaan berhubung pengambilalihan empat syarikat konsesinya akan memastikan sebarang pengambilalihan selari dengan amalan dan norma-norma penilaian pasaran.
Dalam notis kepada Bursa Malaysia hari ini, Gamuda berkata, lembaga pengarahnya mempunyai tanggungjawab fidusiari untuk memberikan nilai yang adil dan munasabah kepada semua pemegang saham.
“Sehubungan itu, Gamuda perlu memastikan bahawa urus niaga yang dicadangkan ini akan berdasarkan norma dan amalan penilaian pasaran,” katanya.
Kumpulan syarikat itu mengulas kenyataan Pejabat Perdana Menteri pada Sabtu lalu yang memaklumkan kerajaan telah berunding dengan Gamuda untuk mengambil alih empat lebuh raya yang dikuasai oleh firma itu.
Lebuh raya itu ialah Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.
Dalam cadangan pengambilalihan itu, kerajaan akan merancang untuk menawarkan tol percuma mulai pukul 11 malam hingga 5 pagi.
Manakala semasa waktu puncak pengguna dikenakan caj kesesakan dan pengurangan sehingga 30 peratus pada waktu biasa.
Susulan pengumuman pengambilalihan itu, saham Gamuda susut kepada RM2.86 sesaham hari ini, turun sebanyak 5.9 peratus. – MalaysiaGazette