KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini memperkenalkan kejohanan empat penjuru yang dinamakan sebagai Piala AIRMARINE 2019.

Kejohanan ini dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 20 dan 23 Mac ini.

Selain Malaysia, tiga negara mengesahkan penyertaan mereka dalam kejohanan ini iaitu Oman yang berada di ranking ke- 90 dunia, Solomon Islands (143) dan Singapura (165).

Malaysia akan menurunkan skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Tan Cheng Hoe kerana skuad bawah 23 tahun negara perlu memberi fokus kepada persiapan untuk menghadapi kelayakan AFC B-23 bulan depan.

Undian kejohanan dijangka berlangsung pada minggu hadapan dan mengikut format kalah mati. Empat pasukan akan berentap di perlawanan pertama pada 20 Mac. Penentuan tempat ke-3 dan aksi final pula dijadualkan berlangsung pada 23 Mac.

Sebelum ini FAM mengesahkan bekas peserta Piala Dunia, New Zealand akan menyertai kejohanan ini namun mereka terpaksa menarik diri dan digantikan dengan Solomon Islands.

Piala AIRMARINE merupakan salah satu persiapan anak buah Tan Cheng Hoe bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 tahun ini.

Malaysia muncul sebagai naib juara Piala AFF 2018 apabil tewas kepada Vietnam di perlawanan akhir.

Setiap pasukan Liga Malaysia dijangka tidak mempunyai masalah untuk melepaskan tonggak utama kerana kejohanan ini dilangsungkan mengikut tarikh dalam kalendar antarabangsa FIFA. – MalaysiaGazette