Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia, Datuk Seri Mustapa Ali bercakap pada sidang media berhubung isu pemberhentian sementara kemasukan pengawal keselamatan Nepal sejak Mei tahun lalu dan pengurangan tempoh syif bekerja bagi kontrak perkhidmatan kawalan keselamatan secara drastik oleh Kementerian Pendidikan di Hotel Holiday Villa, Subang Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 25 FEBRUARI 2019.

SUBANG JAYA – Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) menggesa Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berjumpa dengan wakil mereka demi menyelesaikan isu pengawal keselamatan sekolah.

Presidennya, Datuk Seri Mustapa Ali berkata, kementerian perlu mengambil kira kepentingan PIKM sebelum membuat keputusan yang boleh menjejaskan ‘periuk nasi’ lebih 800 syarikat kawalan keselamatan berdaftar.

“Kita pun sudah menulis surat, sudah bagi pendapat tapi mungkin pendapat dan teguran kami tidak sampai ke peringkat atasan.

“Kita ingin sangat berjumpa pengurusan atas dan menteri sendiri, tapi sehingga ke hari ini kami belum dapat jumpa menteri walaupun banyak surat kita sudah sampai.

“Kita tulis surat sejak Mei 2018 tapi kita tak dapat jumpa dengan menteri lagi. Sebab itu kita nak jelaskan kepada pihak menteri tiga masalah utama,” katanya pada sidang media di Holiday Villa Hotel petang tadi.

Mustapa berkata, antara isu berbangkit itu ialah tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia yang memperkenalkan tiga syif kepada dua syif penugasan bagi kawalan sekolah-sekolah.

“Kita telah mendapati kakitangan kontrak di kementerian didakwa terpaksa dihentikan oleh majikan akibat kontrak perkhidmatan ditamatkan oleh Kementerian Pendidikan.

“Ahli-ahli kami telah menggaji lebih kurang 40,000 pengawal keselamatan untuk mengawal kira-kira 12,000 sekolah di seluruh negara.

“Kami sudah menjangkakan permasalahan ini akan timbul daripada tindakan Kementerian Pendidikan memperkenalkan tiga syif berkenaan,” katanya.

Selain itu, katanya, masalah pengawal keselamatan dari Nepal yang dibekukan sehingga ke hari ini menyebabkan ahli-ahli PIKM sukar mendapatkan kontrak kawalan keselamatan di sekolah.

“Sudah sembilan bulan sejak Mei 2018, kemelut membawa masuk warganegara Nepal sebagai pengawal keselamatan belum ada tanda-tanda nyata.

“Peluang perniagaan yang terlepas ini adalah serius kerana ia melibatkan kelangsungan syarikat kawalan keselamatan.

“Lebih malang, ada di antara ahli kami telah membayar levi dan telah mendapat kelulusan untuk membawa masuk pengawal keselamatan dari Nepal,” katanya.

Lebih menyedihkan apabila Kementerian Pendidikan sendiri mencadangkan penggunaan khidmat anggota RELA sebagai alternatif utama atau kontraktor penyelamat bagi menjamin kontrak keselamatan di sekolah-sekolah, katanya.

“Kontraktor penyelamat diperkenalkan jika syarikat kawalan keselamatan yang sedang memberi khidmat menarik diri atau ditamatkan kontrak.

“Ini mungkin disebabkan oleh prestasi atau tidak memenuhi kehendak lesen yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri atau melanggar terma atau syarat kontrak perkhidmatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette