KUALA LUMPUR – Cadangan kerajaan untuk mengambil alih empat lebuh raya yang dikuasai Gamuda Berhad (Gamuda) memberi kesan negatif kepada pendapatan firma itu.
Ini kerana, penjualan empat lebuh raya itu iaitu Lebuh raya yang terbabit adalah Lebuh raya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART akan ‘menyedut’ hasil Gamuda.
MIDF Research berkata, bagaimanapun terlalu awal untuk menentukan kesannya memandangkan tiada butiran terperinci mengenainya.
“Kami mengunjurkan pendapatan Gamuda kekal tidak berubah sehingga ada perkembangan baharu mengenai pengambilalihan,” katanya dalam nota penyelidikan.
Firma penyelidikan itu berkata, Gamuda mempunyai kepentingan signifikan dalam konsesi-konsesi lebuh raya berkenaan.
Ia menguasai 70 peratus dalam Kesas, SMART (50 peratus), SPRINT (52 peratus) dan Litrak yang memiliki LDP sebanyak 44 peratus.
MIDF Research berkata, aset-aset konsesi lebuh raya itu telah memberi sumbangan stabil kepada pendapatan Gamuda.
Segmen konsesi menyumbang sebanyak 41 peratus dalam pendapatan sebelum cukai Gamuda bagi tahun kewangan 2018.
“Pengambilalihan lebuh-lebuh raya berkenaan bermakna Gamuda akan kehilangan pendapatan tidak berubah kumpulan itu,” katanya. – MalaysiaGazette