Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. foto IQBAL BASRI, 04 DISEMBER 2018
Mohamad Fuzi Harun.

KOTA BHARU – Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menyarankan agar pengurusan rumah ibadat di seluruh negara memasang kamera litar tertutup (CCTV) di premis masing-masing jika berkemampuan.

Mohamad Fuzi berkata, langkah berkenaan boleh membantu siasatan polis jika berlaku sebarang insiden membabitkan penghinaan terhadap agama masing-masing.

“Kalau terjadi perkara yang tidak diingini ia boleh membantu polis untuk mengesan individu yang tidak bertanggungjawab. Ia mungkin melibatkan kos yang tinggi tapi kita sarankan pengurusan rumah ibadat supaya memasang CCTV di premis masing-masing.

“Kebanyakan rumah ibadat di seluruh negara masih tidak mempunyai kemudahan tersebut sekali gus menyukarkan siasatan jika berlaku sebarang insiden sensitif membabitkan agama masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan kepada 174 pegawai dan anggota dari negeri ini yang turut dihadiri Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Abdul Rahim Jaafar dan Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli hari ini dilaporkan berkata pihaknya berjaya menahan seorang lelaki berumur 37 tahun pada pukul 6.15 petang semalam susulan penemuan dua patung agama Hindu yang diletakkan di atas tembok pintu masuk Surau Sabilul Huda, Pelabuhan Klang, Selangor Sabtu lepas.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi berkata, polis juga mengadakan kerjasama dengan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) bagi menempatkan pegawai dan anggotanya di beberapa masjid selaku pegawai perhubungan yang berperanan sebagai penghubung antara agensi keselamatan, masjid dan masyarakat.

“Mungkin ada pengurusan rumah ibadat yang lain akan mempersalahkan saya (kerana tidak menempatkan pegawai perhubungan) di premis mereka namun kita terpaksa bersikap ‘selective’ (memilih) kerana kekurangan anggota.

“Tapi kita akan cuba buat (pertingkat kekuatan pegawai perhubungan dari semasa ke semasa) kerana pegawai ini mempunyai tugas-tugas khusus mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi berkata, beliau telah mengeluarkan arahan khusus kepada setiap ketua polis negeri dan 156 ketua polis daerah untuk memantau sebarang isu yang boleh menimbulkan kemarahan masyarakat umum.

Beliau berkata, polis akan mengawal keadaan di seluruh negara dan berharap agar masyarakat memberikan sepenuh keyakinan kepada agensi tersebut untuk melaksanakan tugas sebaik mungkin. – MalaysiaGazette