Datin Seri Rosmah Mansor

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes saman sebuah syarikat pemborong barang kemas di Lubnan terhadap Datin Seri Rosmah Mansor ditangguhkan sehingga pihak polis mengesahkan status 44 unit barang kemas bernilai US$14.79 juta atau hampir RM60 juta yang didakwa dihantar syarikat berkenaan kepada isteri bekas perdana menteri itu.

Peguam N. Rajivan, yang mewakili Rosmah berkata perbicaraan kes saman itu yang dijadualkan pada 4 dan 5 Mac ini dilapangkan selepas Peguam Kanan Persekutuan (SFC) S. Narkunavathy, yang mewakili kerajaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa rampasan barang kemas itu masih dalam siasatan pihak polis.

“Pihak polis juga tidak dapat mengesahkan status 44 unit barang kemas itu buat masa sekarang sehinggalah siasatan dapat diselesaikan pada Mei ini,” katanya kepada pemberita selepas prosiding kes di dalam kamar Pesuruhjaya Kehakiman Wong Chee Lin, di sini hari ini.

Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Bukit Aman Supt Foo Wei Min dalam afidavit sokongan yang diikrarkan sebelum ini menyatakan pihaknya belum dapat mengesahkan bahawa kesemua 44 unit barang kemas berkenaan adalah sebahagian daripada 12,000 barang kemas yang telah dirampas pihak polis.

Rajivan berkata jika hasil siasatan mendapati 44 unit barang kemas itu berada dalam jagaan pihak polis, pihaknya akan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman berkenaan atas alasan mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes saman berkenaan.

Sementara itu, peguam Datuk David Gurupatham, yang bertindak bagi pihak syarikat pemborong barangan kemas di Lubnan, Global Royalty Trading SAL berkata mahkamah berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Narkunavathy mengenai proses siasatan pihak polis berhubung barang kemas terbabit.

“Mahkamah kemudiannya menetapkan 24 Mei untuk pengurusan kes,” kata peguam itu.

Pada 14 Feb lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah untuk memeriksa dan mengesahkan kewujudan 44 unit barang kemas bernilai US$14.79 juta atau hampir RM60 juta di bawah milikannya yang didakwa dirampas oleh pihak polis, dalam masa tujuh hari.

Pada 26 Jun 2018, Global Royalty selaku plaintif menyaman Rosmah selaku defendan menuntut beliau memulangkan 44 unit barang kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar harga untuk semua barangan kemas berkenaan berjumlah US$14.79 juta atau hampir RM60 juta.

Dalam penyataan tuntutannya, Global Royalty mendakwa pada 10 Feb 2018, ia telah menghantar 44 barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, masing-masing bernilai antara US$124,000 dan US$925,000 kepada defendan melalui serahan tangan menerusi dua ejennya.

Syarikat itu berkata semasa serahan, Rosmah mengesahkan dan menerima terma-terma serta syarat yang terkandung dalam Memorandum No. 926 berkaitan barang kemas itu.

Syarikat itu mendakwa bahawa Rosmah, melalui surat bertarikh 22 Mei 2018, juga mengesahkan dan mengakui menerima barang kemas terbabit tetapi menyatakan kesemua barang kemas berkenaan tidak lagi berada dalam milikannya kerana telah dirampas dan ia kini berada di bawah simpanan pihak berkuasa Malaysia.

Global Royalty memohon pengisytiharan mahkamah bahawa firma itu adalah pemilik sah 44 unit barang kemas terbabit selain memohon perintah supaya Rosmah menyediakan senarai barang kemas yang telah dirampas, perintah untuk barang kemas itu dipulangkan atau, jika tidak, Rosmah akan bertanggungjawab membayar harga barangan berjumlah, US$14.79 juta (RM59.83 juta).

— BERNAMA