Dr. Wan Azizah Wan Ismail
Dr. Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail meminta pihak tertentu terutama musuh politik Pakatan Harapan (PH) menghentikan penyebaran berita palsu kononnya Tabung Haji (TH) diletakkan di bawah Kementerian Kewangan.

Katanya, perkara itu tidak berlaku, malah TH masih kekal di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Jelas beliau, TH telah dilemparkan dakwaan dan tuduhan bahawa bidang kuasa organisasi itu dipindahkan dari Jabatan Perdana Menteri kepada Kementerian Kewangan.

“Jemaah Menteri hanya membuat keputusan untuk memindahkan aset yang tidak menguntungkan TH kepada Syarikat Tujuan Khas (SPV) milik kerajaan.

“Pemindahan ini ialah sebahagian daripada usaha kerajaan hendak mengembalikan keadaan kewangan TH kepada normal dan mempercepatkan pemulihan kewangan institusi tersebut setelah berlaku salah laku secara besar-besaran,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, kenyataan dari JPM memaklumkan, TH turut diletakkan bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM), iaitu sebuah badan yang bebas.

Kata kenyataan itu, TH juga diletakkan bawah pimpinan Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus yang mengawal selia semua bank dan institusi kewangan di dalam negara, termasuk institusi kewangan Islam.

“TH kekal di bawah bidang juasa JPM, dan perkara ini tidak berubah dengan pengenalan SPV seperti yang telah dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet.

“Dakwaan dan tuduhan bahawa TH dipindahkan kepada Kementerian Kewangan adalah palsu dan tidak berasas sama sekali,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette