HANOI – Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un tiba di Vietnam pagi tadi bagi menghadiri sidang kemuncak dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bagi mencapai kata sepakat berhubung perjanjian menghentikan program senjata nuklear oleh negara berkenaan.

Trump yang masih dalam perjalanan dijadualkan tiba di Hanoi, petang ini.

Menurut jurucakap White House, Sarah Sanders, Jong Un dan Trump akan mengadakan pertemuan singkat empat mata pada petang esok disusuli makan malam santai yang mana kedua-duanya akan ditemani oleh dua orang tetamu dan penterjemah bahasa.

Lebih banyak mesyuarat dijangka diadakan pada Khamis, katanya.

Rundingan di antara kedua-dua pemimpin itu adalah susulan kepada pertemuan bersejarah yang diadakan di Singapura lapan bulan lalu.

Walaupun tiada harapan tinggi diletakkan untuk menyaksikan pertemuan kedua di Hanoi ini bakal memuktamadkan perjanjian pembatalan program nuklear Korea Utara yang mengancam Amerika Syarikat namun masih ramai yang percaya ia mampu membuka semula jalan ke arah mengakhiri deklarasi Perang Korea 1950-1953.- Agensi