Azhar Azizan
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun meluangkan masa melawat proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Kem Batalion 4 PGA, Semenyih, Selangor. foto IQBAL BASRI, 26 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menganggap pemberian hamper dan makanan oleh Pakatan Harapan (PH) sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih sebagai telah melanggar undang-undang negara.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, perkara itu tidak boleh dilakukan kerana semua pihak yang bertanding telah menandatangani akunjanji untuk patuh terhadap peraturan yang ditetapkan.

Beliau turut menggesa mana-mana pihak supaya membuat laporan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya tindakan dapat diambil terhadap perkara dengan segera.

“Saya ada nampak berita dalam online tapi saya rasa seperti yang saya katakan dulu sesiapa yang mempunyai laporan tepat sepatutnya melaporkan insiden tersebut.

“Kalau beri makanan kepada pihak SPRM lah,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di pusat pengundian awal di Batalion ke-4, Pasukan Gerakan Am di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai beberapa program berkaitan PH sepanjang kempen PRK berkenaan yang dilihat melanggar syarat yang ditetapkan oleh SPR.

Antara perkara yang dilakukan oleh PH iaitu pemberian hamper dan pembaikan rumah salah seorang pengundi di Semenyih, pemberian bubur lambuk dan yang terbaru dilakukan semalam apabila diadakan pemberian hamper kepada ibu tunggal dalam satu majlis penerimaan keahlian baru Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Taman Pelangi, Semenyih.

Azhar berkata, pada masa ini pihaknya belum lagi menerima laporan terbaharu berkenaan pemberian hamper tersebut namun tidak menafikan telah menerima sebanyak 23 laporan polis daripada kedua-dua pihak iaitu PH dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, SPR sentiasa memperingati calon dan parti-parti politik yang bertanding untuk sentiasa mengikuti undang tersebut.

Dalam pada itu beliau berkata, penguatkuasa SPR berhak menghentikan sebarang aktiviti yang menyalahi urusan pilihan raya oleh parti-parti politik bertanding terutama melibatkan pemberian.

Katanya, jika tidak berbuat demikian mereka boleh diambil tindakan dan diambil keterangan.

“Penguatkuasa pun serupa kalau ikut undang-undang dia kena minta berhenti.

“Kalau dia tak berhenti dia akan diambil keterangan dan dia kena buat laporan polis,” ujarnya. – MalaysiaGazette